Jumaat, 14 September 2018 | 5:42pm
DUA suspek terbabit kes bunuh kucing bunting dalam mesin pengering sebuah dobi layan diri di Taman Gombak Riag, direman selama empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan.

Dua suspek bunuh kucing direman 4 hari

GOMBAK: Dua suspek terbabit kes bunuh kucing bunting dalam mesin pengering sebuah dobi layan diri di Taman Gombak Riag, direman selama empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata perintah reman terhadap dua suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Gombak pagi tadi bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan membunuh haiwan.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan ditahan sekitar Gombak oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak awal pagi tadi.

"Kedua-duanya ditahan awal pagi tadi di sekitar Gombak hasil risikan dilakukan polis selain maklumat orang ramai.

"Malah, pagi ini juga kita sudah mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Gombak untuk menahan reman suspek selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan terhadap kes itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya seorang lagi suspek masih lagi bebas dan polis masih lagi memburu seorang lagi suspek yang turut berada di lokasi ketika kejadia kejam itu dilakukan.

Semalam, polis mendedahkan gambar tiga suspek berkenaan yang dikehendaki kerana melakukan penganiayaan dan membunuh haiwan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga suspek diburu selepas mereka membunuh seekor kucing bunting terbiar dengan 'memanggangnya' dalam mesin pengering pakaian di sebuah dobi layan diri di Taman Gombak Ria, 12.30 tengah malam, Selasa lalu.

Bangkai kucing berkenaan ditemui seorang pelanggan pada jam 10.30 pagi ketika ingin menggunakan mesin pengering berkenaan sebelum sebuah pertubuhan membela haiwan bertindak melaporkan kejadian kepada polis.

Perlakuan kejam serta tidak bertamadun mereka dirakam CCTV premis berkenaan serta tular di media sosial mendapat kecaman masyarakat di negara ini yang berharap agar hukuman berat dikenakan kepada pelaku termasuk penjara dan bukan sekadar hanya dikenakan denda.

Ini kerana rata-rata berpendapat bahawa perlakuan kumpulan lelaki itu tidak bertamadun, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

1520 dibaca
Berita Harian X