Jumaat, 18 Mei 2018 | 3:11am

72 beg berisi wang tunai, barang kemas dirampas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 72 bagasi mengandungi wang tunai, barang kemas dan pelbagai barangan berharga serta 284 kotak berisi beg tangan berjenama ditemui dalam sebuah unit kediaman di Pavilion Residences Apartment yang diperiksa polis berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata kesemua barangan yang dirampas itu susulan pemeriksaan ke atas unit kediaman terbabit selepas pihaknya memperoleh borang geledah daripada mahkamah.

Katanya, pihak JSJK Bukit Aman melakukan pemeriksaan di enam lokasi serentak, kelmarin iaitu di Pejabat Perdana Menteri (bekas perdana menteri) dan kediaman rasmi bekas Perdana Menteri di Putrajaya dan empat kediaman persendirian di ibu negara termasuk kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini.

Tiga lagi kediaman persendirian yang diperiksa terletak di dalam Pavilion Residences Apartment termasuk unit kediaman yang digunakan untuk menyimpan semua barangan yang dirampas hari ini.

"Semasa pemeriksaan, tiada penghuni di dalam kediaman terbabit namun kami memperolehi borang geledah daripada mahkamah untuk menjalankan pemeriksaan."Kita turut merampas pelbagai barangan termasuk dokumen berkaitan 1MDB dalam pemeriksaan di lima lokasi lain," katanya dalam sidang media di pekarangan lobi apartmen, awal pagi tadi.

Ketika ditanya siapakah pemilik unit kediaman yang diperiksa tadi, Amar Singh memaklumkan ia adalah milik seorang individu bergelar Tan Sri namun enggan mendedahkah butiran lanjut.

"Saya tidak perlu dedahkan siapa pemiliknya tetapi ia ada kaitan dengan siasatan 1MDB.

"Cukup atau tidak bahan bukti yang dirampas hari ini untuk melakukan pendakwaan, itu akan diberitahu oleh Ketua Polis Negara nanti," jelas beliau.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes 1MDB masih berjalan, justeru pihaknya meminta orang ramai dan media tidak membuat spekulasi berhubung tangkapan ke atas mana-mana pihak.

Mengenai dakwaan peguam mewakili Najib, Datuk Harpal Singh Grewal bahawa polis yang membuat pemeriksaan di kediaman Najib di Taman Duta terlalu lama hampir 24 jam hingga mengganggu ketenteraman penghuninya, Amar Singh berkata pihaknya menjalankan tugas secara profesional.

Dalam pada itu, Amar Singh memaklumkan pihaknya belum dapat memberi anggaran jumlah sebenar nilai kesemua barangan mewah dan berharga yang dirampas tadi, namun dipercayai jumlahnya besar.

"Kita masih jalankan proses pengiraan untuk mengetahui nilai sebenar barang yang kita rampas," kata beliau.

Difahamkan, antara beg tangan mewah yang dirampas adalah berjenama Hermes Birkin dan Louis Vuitton, manakala wang tunai yang dirampas terdiri daripada pelbagai jenis matawang.

Terdahulu, lima trak polis digunakan untuk memunggah barangan yang dirampas di kediaman mewah berkenaan mulai jam 12.13 tengah malam tadi dan proses itu mengambil masa kira-kira dua jam.

72004 dibaca
ANGGOTA polis membawa barang rampasan dari kediaman di Pavilion Residence Apartments, Bukit Bintang, tengah malam tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir
ANGGOTA polis membawa barang rampasan dari kediaman di Pavilion Residence Apartments, Bukit Bintang, tengah malam tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir
ANGGOTA polis membawa barang rampasan dari kediaman di Pavilion Residence Apartments, Bukit Bintang, tengah malam tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X