Khamis, 17 Mei 2018 | 8:24pm

4 maut kereta bertembung bas ekspres

RANAU: Empat maut, manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di kilometer 39, Jalan Ranau - Telupid, dekat sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mengorbankan dua lelaki dan dua wanita dewasa termasuk pemandu PROTON Saga BLM yang dikenali sebagai Mohd Aziratul Khizam Azis, 23 manakala identiti mangsa lain belum diperoleh.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta PROTON Saga itu dalam perjalanan dari Ranau menghala ke Telupid.

"Pemandu PROTON Saga disyaki gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar bas ekspres dari arah bertentangan.

"Empat mangsa, termasuk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian, dua lagi yang terselamat di hantar ke Hospital Ranau untuk rawatan susulan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemandu dan 29 penumpang bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit, seterusnya melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. Operasi tamat pada jam 4 petang tadi," katanya.

Sementara itu, saksi awal kejadian hanya mahu dikenali sebagai Farah, 28, berkata, kejadian berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang ke kampung dari Kota Kinabalu.

"Keadaan trafik yang sangat sesak itu menyebabkan saya keluar daripada kenderaan dan terkejut mendapati empat mangsa tidak sedarkan diri sebelum saya dimaklumkan mereka meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.

Farah berkata, akibat kemalangan itu, laluan menghala ke Telupid dan Ranau sesak lebih sejam sementara menunggu kerja pengeluaran mangsa dan pemindahan kenderaan.

"Sangat menyedihkan, saya lihat banyak sayuran, buah-buahan serta makanan lain bertaburan dan kemungkinan mangsa juga dari bazar," katanya.

1700 dibaca
KEADAAN kereta yang bertembung sebuah bas ekspres di kilometer 39, Jalan Ranau - Telupid, Ranau, hari ini. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 39, Jalan Ranau - Telupid, Ranau, hari ini. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di kilometer 39, Jalan Ranau - Telupid, Ranau, hari ini. - Foto ihsan bomba
Berita Harian X