Khamis, 17 Mei 2018 | 5:53pm
RAMLI (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan mengandungi syabu yang dirampas pada sidang media di IPK Sabah, di Kota Kinabalu hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Pasangan kekasih miliki 10.56kg syabu ditahan

KOTA KINABALU: Pasangan kekasih diberkas selepas polis merampas 10.56 kilogram dadah jenis syabu, selain ekstasi dan ketamin bernilai RM750,000 di sebuah kondominium di Penampang di sini, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata serbuan dilakukan pada jam 11.15 pagi selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di kondominium itu.

Katanya, ketika serbuan, seorang lelaki yang memandu pacuan empat roda Toyota Fortuner di kawasan tempat letak kereta ditahan dan pemeriksaan menemui empat paket plastik mengandungi dadah jenis syabu disorok di seluar lelaki terbabit.

"Hasil soal siasat, suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah kediaman di tingkat tujuh kondominium itu dan menahan seorang wanita warga China.

"Kita juga merampas lima paket plastik bersaiz besar mengandungi dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid.

Ramli berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 105 paket plastik pelbagai saiz berisi dadah jenis syabu dan 188 biji ekstasi serta dua plastik lut sinar berisi dadah jenis ketamin yang disembunyikan di dalam satu beg bagasi berwarna merah jambu.

"Selain itu, polis turut menemui wang tunai sejumlah RM155,000. Nilai semua dadah yang ditemui RM750,000, polis turut menyita kenderaan Toyota Fortuner," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan, suspek mengakui menerima arahan daripada satu sindiket tempatan untuk menghantar dadah itu ke suatu kawasan yang akan ditetapkan.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 30 dan 23 tahun itu direman bermula hari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

"Kita percaya dengan tertangkapnya lelaki bersama wanita itu, polis berjaya menumpaskan satu sindiket dadah yang agak besar di kawasan Penampang dan Kota Kinabalu.

"Polis sedang berusaha untuk mengesan ahli sindiket yang lain dan kita percaya dadah itu dibawa masuk dari luar Sabah dan dipasarkan di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu," katanya.

421 dibaca
Berita Harian X