Khamis, 17 Mei 2018 | 4:54pm
DIPERCAYAI dua tukang kunci memasuki kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tukang kunci dipanggil buka peti besi Najib

KUALA LUMPUR: Dua tukang kunci dilihat memasuki kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Kehadiran tukang kunci berkenaan adalah sebahagian proses menggeledah kediaman bekas Perdana Menteri yang dilakukan polis sejak malam tadi.

Difahamkan, polis menemui satu peti keselamatan di kediaman berkenaan pagi tadi, namun ia tidak dibuka.

Kunci bagi peti besi yang dianggarkan berusia 20 tahun itu dipercayai hilang dan kehadiran dua tukang itu difahamkan untuk membuka peti besi itu.

Polis mula menggeledah kediaman Najib kira-kira jam 10.15 malam selepas tiba dengan puluhan kereta dan sebuah lori.

Peguam Najib, Harpal Sing Grewal berkata pasukan polis merampas tiga hingga empat kotak barangan mengandungi beg tangan, hadiah, dan barang peribadi.

Harpal yang ditemui kira-kira jam 4.30 pagi mendakwa tiada dokumen dirampas.

54224 dibaca
Berita Harian X