Selasa, 17 April 2018 | 7:06pm
Tertuduh, Mohammad Khairul Abidin Abdul Rahim, 34, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas mengaku salah menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya di laman blog. - Foto Zatul Iffah Zolkiply

Padah sebar gambar lucah bekas kekasih

KUALA TERENGGANU: Seorang pengurus restoran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku salah menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya di blog.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohammad Khairul Abidin Abdul Rahim, 34, mengaku salah terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman Blogspot dan Wordpress secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah dengan niat untuk menganiaya orang lain.

Tertuduh didakwa memuat naik kandungan lucah itu dalam laman blog menerusi aplikasi Blogspot dan Wordpress pada 16 Jun, 4 Julai dan 7 Julai 2015.

Kandungan itu dibaca mangsa pada jam 3 petang di sebuah rumah di Chendering, di sini, sebelum membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Azman menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Mohd Sophian Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Sophian dalam hujahan pendakwaannya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana perbuatannya dianggap sangat jahat dan menghancurkan masa depan mangsa.

Katanya, perbuatan tertuduh lebih kepada dendam kerana cintanya ditolak mangsa.

3892 dibaca
Berita Harian X