Selasa, 17 April 2018 | 6:47pm

Tidur 'mati' dalam teksi

SEREMBAN: Seorang pemandu teksi terpaksa membawa penumpangnya ke balai polis apabila lelaki berusia 20-an itu gagal dikejutkan daripada tidur di Taman Sri Pulai, Sikamat, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata lelaki itu menaiki teksi dari Kuala Lumpur pada jam 9 pagi berikutan mahu pulang ke rumahnya di daerah ini.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu tidak memberikan alamat rumah lengkap, menyebabkan pemandu teksi itu hanya membawanya ke taman perumahan terbabit.

"Sepanjang perjalanan, lelaki itu dikatakan tertidur sehingga tiba di taman berkenaan pada jam 11 pagi, namun cubaan pemandu teksi mengejutkannya gagal," katanya.

Hock Poh berkata, selepas gagal mengejutkan lelaki itu daripada tidur selepas beberapa minit mencuba, pemandu teksi terbabit membawanya ke Balai Polis Sikamat untuk bantuan.

"Setiba di balai polis, beberapa anggota turut membantu mengejutkan lelaki itu, namun masih gagal dan berdasarkan maklumat yang ada pada dokumen pengenalan diri lelaki itu, polis menghubungi ibunya yang berusia 55 tahun," katanya.

Menurutnya, keluarga lelaki itu datang ke balai polis dan mendapati dia masih tidur, namun dengan bantuan ahli keluarga, lelaki berkenaan akhirnya terjaga.

"Wanita itu memberitahu anak bongsunya sering berdepan masalah sukar bangun tidur," katanya.

Dalam pada itu, video dan gambar mengenai kejadian terbabit tular di media sosial semalam menunjukkan dua anggota polis membantu pemandu teksi mengejutkan penumpangnya bangun daripada tidur.

10602 dibaca
GAMBAR viral, seorang lelaki berusia 20-an terpaksa dibawa ke balai polis apabila dia yang menaiki teksi gagal dikejutkan bangun daripada tidur di Taman Sri Pulai, Sikamat, kelmarin.
Berita Harian X