Selasa, 17 April 2018 | 6:17pm
SETIAUSAHA UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Nizam Mohd Hassan menunjukkan provokasi terhadap papan poster parti Barisan Nasional yang tertera muka Perdana Menteri yang disimbah cat hitam di kawasan Perindustrian Jerantut. - Foto Nazirul Roselan

Simbah cat pada poster perbuatan biadap

JERANTUT: UMNO Bahagian Jerantut kecewa apabila papan iklan tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di simpang masuk ke kawasan industri di sini disimbah cat hitam.

Setiausaha UMNO bahagian, Ahmad Nizam Mohd Hassan, berkata pihaknya menyedari kejadian itu kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira jam 3.30 petang tadi.

"Kami kecewa dengan kejadian ini apabila melihat poster muka Perdana Menteri disimbah cat hitam. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab ketika kita sedang membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.

"Kejadian seperti ini tidak patut berlaku kerana semua parti politik yang bertanding harus bersikap lebih matang dan memelihara hak masing-masing," katanya pada sidang media di perkarangan IPD, di sini, hari ini.

Ahmad Nizam berkata, tinjauan di kawasan papan iklan terbabit mendapati ada satu plastik berwarna hitam dipercayai digunakan untuk membaling cat ke arah muka PM pada gambar berkenaan.

"Papan iklan itu dipasang selepas pelancaran Manifesto BN pada Sabtu lalu serta terdapat dua kesan tompokan cat pada bahagian muka dan kemungkinan plastik berisi cat dibaling dua kali," katanya.

Nizam berkata lagi, pihaknya tidak mahu membuat tuduhan melulu terhadap pihak tertentu, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.

"Kita berharap pihak polis dapat melakukan siasatan terhadap perkara ini kerana ia satu tindakan yang biadap dan tidak patut dilakukan," katanya.

Beliau juga berharap perkara sedemikian tidak berlaku lagi selepas ini dan meminta semua penyokong BN tidak melakukan tindakan seperti itu terhadap poster dan gambar pembangkang.

1818 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »