Selasa, 17 April 2018 | 5:43pm
PEGAWAI SPRM membawa bahan bukti bagi kes Otman Arsahd di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk sambungan bicara salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM38.4 juta. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Seluar Giorgio Armani RM4,890 barang bukti kes

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 helai kemeja-T berjenama Louis Vuitton, yang dirampas dari rumah bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia Sukan (KBS), Otman Arsahd, dikemukakan sebagai barang bukti di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Kemeja-T itu dan 22 helai baju lagi adalah barang bukti yang dikemukakan kepada mahkamah melalui saksi ke-49, Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmawi Kulup Lam, 37.

Selain itu, dua helai seluar, termasuk satu daripadanya yang masih mempunyai tanda harga RM4,890 berjenama Giorgio Armani, turut dikemukakan untuk ditandakan sebagai bukti.

Mahkamah hari ini menyaksikan baju pelbagai jenama mewah, antaranya Gucci, Ralph Lauren, Kenzo, Dolce&Gabbana, dikemukakan satu persatu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Selain itu, tiga telefon bimbit, termasuk sebuah berjenama Vertu dan Blackberry Porsche dikemukakan kepada mahkamah.

Asmawi juga memaklumkan komputer riba milik Otman kini berada di unit Forensik SPRM.

Otman dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan membuat tuntutan palsu bernilai RM38.4 juta di pejabat MSN, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, di antara 2 Mei 2012 hingga 18 November 2015.

Otman turut didakwa bersama ahli perniagaan, Siti Rohanah Hussien, 43 dan suaminya, Abdul Gafar Abdurahiman, 43, atas 190 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16.63 juta, empat tahun lalu.

Otman diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin dan Aaron Chelliah.

3631 dibaca
Berita Harian X