Selasa, 17 April 2018 | 5:38pm

Tipu barang berjenama, penganggur didakwa

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas lima tuduhan menipu dalam urusan jual beli barangan berharga termasuk jam tangan mewah dan cincin berlian membabitkan jumlah keseluruhan melebihi RM200,000.

Lau Yin Ling Inez, 27, yang didakwa melakukan kesalahan itu melalui lima transaksi berasingan, dihadapkan ke tiga mahkamah majistret berasingan.

Yin Ling didakwa dengan tuduhan pertama iaitu memperdayakan Jonathan Lourdes, 30, dengan mendorong mangsa menyerahkan jam tangan Breitling dan Tag Heuer bernilai RM37,000 melalui transaksi pembayaran palsu di Midvalley di sini, pada jam 1.35 petang, 12 Mac lalu.

Dia juga didakwa menipu Rosilah Subari, 46, melalui urusan pembelian dua cincin berlian sehingga mangsa percaya tertuduh membuat pemindahan wang RM26,900 ke dalam akaun Maybank dan mendorong Rosilah menyerahkan cincin berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di St Mary Resident Jalan Tengah di sini, pada jam 12.10 tengah hari, 3 Mac lalu.

Bagi tuduhan ketiga, tertuduh didakwa menipu Retheuwan Wan Chik, 79, dengan menunjukkan satu resit pembayaran palsu sehingga mendorong mangsa menyerahkan kepadanya jam tangan jenama Rolex dan koleksi syiling Royal Wedding.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mac Cafe Intermark PU3, Jalan Tun Razak, di sini, pada 7 Februari lalu.

Tuduhan keempat, dia didakwa menipu Lau Chew Weng, 33, dengan menggunakan transaksi pembayaran palsu sehingga mendorong mangsa menyerahkan jam tangan kepadanya di Bangsar South Camille Service Resident, Brickfields, pada jam 11.30 pagi, 10 Januari lalu.

Bagi tuduhan kelima, Yin Ling didakwa menipu Aida Othman, 38, melalui transaksi pembayaran palsu sehingga mendorong mangsa menyerahkan kepadanya jam tangan Rolex bernilai RM59,000 di Restoran Decanter, Brickfields, pada jam 7 malam, 4 Februari lalu.

Tuduhan dibacakan terhadap tertuduh di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som, Maizatul Munirah Abdul Rahman dan Siti Radziah Kamarudin.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Ketiga- tiga mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes masing-masing pada 17, 18 dan 24 Mei ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Farah Adilah Noordin dan Amirul Asyraf Abdul Rasid manakala K Vasugi bertindak bagi pihak pendakwaan.

319 dibaca
Berita Harian X