Selasa, 17 April 2018 | 5:28pm

Pukul bapa dengan tukul besi

AMPANG: Mahkamah Sesyen, di sini, memerintahkan seorang penganggur membela diri atas pertuduhan memukul bapa kandungnya menggunakan tukul besi, tahun lalu.

Hakim Azrul Darus membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Soong Chee Wei, 33, di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memilih untuk memberi keterangan membela diri tanpa sumpah di dalam kandang. Mahkamah menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula.

Perbicaraan bermula 5 Mac sehingga 22 Mac lalu dengan memanggil seramai lapan saksi. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim.

Berdasarkan pertuduhan, Soong didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap bapanya, Soong Food Kong, 64, dengan menggunakan tukul besi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Indah 15, Taman Cheras Indah, di sini, pada jam 2 petang, 25 November 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

482 dibaca
Berita Harian X