Selasa, 17 April 2018 | 5:17pm
MICHAEL Chong (duduk, tengah) menunjukkan salinan penyata bank palsu yang diterima sepasang suami isteri (belakang, kanan) selepas ditipu seorang lelaki yang berperanan sebagai orang tengah memindahkan wang diberi keluarga mereka berjumlah RM190,000 dari China ke akaun bank mereka di sini yang sepatutnya digunakan sebagai pendahuluan membeli sebuah rumah.

RM190,000 lesap angkara orang tengah

KUALA LUMPUR: Hajat sepasang suami isteri untuk membeli rumah tidak kesampaian apabila wang pendahuluan RM190,000 yang dikirim keluarga mereka dari China lesap dicuri rakan kepada seorang kenalan mereka, bulan lalu.

Pasangan suami isteri berusia 25 dan 27 tahun itu tidak menyangka tindakan mereka menggunakan khidmat orang tengah untuk memindahkan wang dari China ke negara ini mengundang padah apabila ditipu lelaki terbabit.

Susulan itu, mangsa dikenali sebagai Li, 27, berasal dari Guangdong, China dan isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Stephanie Fong, 21, seorang warga tempatan, membuat aduan kepada Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini, hari ini.

Menurut Li, keluarganya di China ingin membantu beliau dan isteri membeli sebuah rumah di Kajang pada Februari lalu, namun tidak mengetahui cara memindahkan wang berjumlah 309,700 renmimbi (RMB) (RM190,000) ke akaun bank isterinya.

"Saya minta bantuan seorang rakan dikenali sebagai Yap dan dia mengenalkan saya dengan seorang rakannya dikenali sebagai Hong.

"Hong pula beritahu rakannya bernama Lew memang memerlukan mata wang RMB serta mempunyai akaun bank di China dan mereka bersetuju untuk melakukan transaksi," katanya pada sidang media di Wisma MCA, hari ini.

Menurut Li, pada 8 Mac lalu, Hong menghantar tujuh salinan penyata sebuah bank tempatan kepadanya melalui aplikasi WeChat sebagai bukti Lew sudah memindahkan wang berjumlah RM190,000 ke empat akaun milik isterinya.

"Selepas itu, Hong minta saya pindahkan pula wang berjumlah 309,700 RMB ke akaun bank Lew di China dan saya pindahkan wang diberi keluarga saya itu menggunakan tiga akaun bank saya di China melalui sembilan transaksi.

"Namun, keesokannya apabila saya dan isteri pergi ke bank untuk buat semakan baki, tiada sebarang transaksi wang dimasukkan ke akaun bank isteri oleh Lew selain diberitahu salinan penyata bank terbabit adalah palsu," katanya.

Susulan itu, dia rakannya Yap pergi berjumpa Hong di Banting untuk meminta penjelasan namun dimarahi lelaki itu dan mengatakan dia tiada kena mengena dengan urusan yang dilakukan dengan Lew.

"Saya dan rakan turut cuba mencari Lew di kediamannya di Mentakab, Pahang, namun keluarganya memberitahu lelaki itu tiada di rumah,

"Kami menemui jalan buntu untuk mendapatkan kembali wang itu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Kinrara pada 19 Mac lalu," kata Li.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, menasihatkan orang ramai menggunakan saluran betul sekiranya hendak mengirim wang ke negara ini atau ke negara luar.

"Urusan menukar wang 'suka sama suka' itu adalah salah di sisi undang-undang, mereka sepatutnya menggunakan saluran betul seperti perkhidmatan kiriman yang disediakan pihak bank atau syarikat pengurup wang," tegas beliau.

567 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »