Selasa, 17 April 2018 | 4:28pm
RAKAMAN video tular yang dipercayai merelakan diri dipukul ketika menyambut hari lahir di sebuah sekolah di Shah Alam.

9 pelajar ditahan pukul rakan sekelas

SHAH ALAM: Sembilan pelajar lelaki ditahan susulan tersebar video seorang pelajar dipukul rakan sekelas, kononnya sebagai tradisi sambutan ulang tahun hari lahir, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata kesemua pelajar terbabit ditahan di hadapan sekolah mereka di Bukit Jelutong, jam 11.30 pagi semalam.

Katanya, semua pelajar tingkatan lima yang berusia 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai siasatan pada jam 4.45 petang semalam.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil turut mengesahkan mangsa membuat laporan polis jam 9 malam, Ahad lalu.

Kira-kira jam 11 pagi pada 8 Februari lalu, mangsa, seorang pelajar tingkatan lima di sekolah terbabit, dipukul dengan batang kayu penyapu dan disepak oleh sekumpulan rakan sekelas selepas dipaksa menyanyikan lagu 'Happy Birthday.'

Kejadian dalam kelas selepas tamat waktu rehat itu dirakamkan seseorang sebelum rakaman video berdurasi 29 saat tersebar di media sosial.

Difahamkan, sambutan sedemikian adalah 'tradisi' bagi segelintir pelajar di sekolah itu.

1998 dibaca
Berita Harian X