Selasa, 17 April 2018 | 3:46pm
AKMARIAHTON Suboh, 45, menunjukkan gambar Nur Mahirah Syafie, 22, yang turut mengalami masalah mental hilang sejak 10 April lalu tanpa sebarang khabar selepas dikatakan tidak kembali semula ke pusat pengajian al-Quran di Masjid Tanah ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di Ayer Keroh. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

Remaja wanita OKU hilang

MELAKA: Seorang remaja wanita orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran dilaporkan hilang selepas dihantar ke sebuah pusat pengajian al-Quran di Masjid Tanah, di sini, minggu lalu.

Nur Mahirah Syafie, 22, yang turut mengalami masalah mental hilang sejak 10 April lalu.

Ibu saudaranya, Akmariahton Suboh, 45, berkata anak saudaranya dikatakan tidak kembali semula ke pusat pengajian al-Quran itu selepas keluar ke kedai berhampiran.

"Ketika dilaporkan hilang, Nur Mahirah baru empat hari dihantar masuk ke pusat pengajian itu.

"Difahamkan, ketika Nur Mahirah hilang dia memakai baju berlengan panjang berwarna putih kuning, berseluar biru dan memakai tudung berwarna kuning," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Barisan Nasional (Pembela BN) di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, Akmariahton turut membuat laporan mengenai kehilangan Nur Mahirah di Balai Polis Masjid Tanah di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz.

Akmariahton berkata, sejak Nur Mahirah hilang, dia tidak dapat tidur dan tiada selera makan kerana bimbang memikirkan keadaan anak saudaranya itu.

"Kedua-dua ibu bapanya sudah meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu dan dia juga perlu bergantung kepada ubat yang perlu diambil setiap minggu.

"Kami sekeluarga sudah berikhtiar bermacam-macam cara termasuk membuat kiriman di Facebook mengenai kehilangan Nur Mahirah, namun hingga sekarang masih tiada sebarang maklumat," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjumpai Nur Mahirah diminta menghubungi Fatihah di talian 017-6433272 atau talian hotline Pembela BN 1300-22-2352.

394 dibaca
Berita Harian X