Isnin, 16 April 2018 | 11:26pm
Keadaan stor gerai makan musnah dalam kebakaran di Bandar Enstek pada petang tadi. - Foto ihsan Bomba

Wanita hamil melecur muka akibat letupan tong gas

NILAI: Seorang pemilik kedai makan dan tukang masaknya yang sedang mengandung tujuh bulan, melecur dalam kejadian letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di premis niaga mereka dekat LBJ di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.46 petang, Tuan Mat Tuan Dollah, 41, dan tukang masak, Nor Akmal Alim, 23, sedang menyediakan nasi di bahagian dapur premis sebelum berlakunya letupan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Syazwan Saidy, berkata seramai 18 pegawai dan anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

Beliau berkata, letupan mengakibatkan tempat penyimpanan barang di bahagian belakang premis berkenaan terbakar.

"Berdasarkan keterangan isteri pemilik, ketika kejadian dia berada di hadapan kedai bersama dua anaknya sebelum terdengar letupan kuat lalu ke dapur untuk memeriksa.

"Apabila sampai di dapur, dia melihat suami dan tukang masak mengalihkan tong gas yang terbakar ke luar kerana bimbang kedai disambar api. Namun, sebaik tong gas dialihkan ke luar kedai, berlaku percikan api dan menyambar tempat penyimpanan barang," katanya.

Akibat letupan itu, Mohd Syazwan berkata, pemilik kedai melecur di belakang badan, tangan dan kaki manakala tukang masaknya melecur di bahagian muka.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, untuk rawatan lanjut.

1446 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »