Jumaat, 23 March 2018 | 3:36pm

Presiden Mahkamah Rayuan tentukan hakim baharu

PUTRAJAYA: Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, akan menentukan panel hakim baharu bagi mendengar rayuan semakan kehakiman Kerajaan Negeri Selangor untuk mencabar proses cadangan persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Ia berikutan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohd Zawawi Salleh yang dijadualkan mendengar rayuan itu hari ini, memutuskan untuk merujuk perkara berkenaan kepada Presiden Mahkamah Rayuan.

Panel memutuskan demikian selepas mendengar permohonan kerajaan negeri supaya mereka menarik diri atas alasan berat sebelah kerana pernah mendengar rayuan membabitkan isu sama.

Permohonan itu juga dibuat bagi mengelak persepsi salah terhadap badan kehakiman.

Mohd Zawawi berkata, rujukan akan dibuat kepada Presiden Mahkamah Rayuan kerana kebanyakan hakim Mahkamah Rayuan pernah mendengar dan memutuskan berhubung rayuan membabitkan proses persempadanan semula.

Turut bersidang, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Kamardin Hashim.

Mahkamah menetapkan 27 Mac ini bagi mendengar rayuan berkenaan.

Pada prosiding hari ini, kerajaan negeri Selangor diwakili Datuk Cyrus Dass dan Datuk S Ambiga manakala barisan Peguam Kanan Persekutuan diketuai Alice Loke Yee Ching yang bertindak bagi pihak SPR dan Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah serta Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Selangor bagi mencabar proses cadangan persempadanan semula di kawasan Parlimen dan DUN negeri terbabit.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan, membuat keputusan itu selepas mendapati ia terikat kepada dua keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa kerajaan negeri tiada hak dari segi Perlembagaan untuk mencabar kemunasabahan cadangan persempadanan semula, walaupun skop semakan kehakiman sudah diperluas.

Dalam permohonan semakan kehakimannya, Kerajaan Selangor yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memohon perisytiharan cadangan persempadanan semula oleh SPR pada 2016, tidak mematuhi Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, sehubungan itu tidak sah dan terbatal.

Kerajaan negeri juga memohon perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam urusan persempadanan semula. melanggar peruntukan dalam Perlembagaan mengikut Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, oleh itu ia tidak sah dan terbatal.

429 dibaca
Berita Harian X