Khamis, 15 March 2018 | 12:09am

Mayat dalam kereta

KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan penyelia kamera litar tertutup (CCTV) sejak seminggu lalu terjawab apabila mayat lelaki itu ditemui dalam kereta di belakang kilang di Jalan BK 1/18 Bukit Jalil di sini, tengah hari tadi.

Mayat Tan Yew Meng ditemui orang awam dalam keadaan terbaring di kerusi pemandu kereta Nissan Almera, kira-kira jam 12 tengah hari sebelum melaporkan kepada polis.

Yew Meng, 30, dari Taman Puchong Utama, Puchong, dilaporkan hilang selepas keluar bekerja pada 7 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata ketika ditemui, kereta itu dalam keadaan berkunci.

Katanya, polis berjaya menghubungi waris lelaki yang kemudian membawa kunci pendua untuk membuka kereta berkenaan.

"Bapa Yew Meng mengesahkan jasad itu adalah mayat anaknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, Yew Meng keluar ke tempat kerja di Petaling Jaya, kira-kira jam 6 pagi dengan memandu Nissan Almera.

Apabila dia tidak pulang pada keesokannya serta gagal dihubungi, keluarganya membuat satu laporan polis keesokannya.

Abdul Ghani berkata pemeriksaan pasukan forensik pada kenderaan mangsa menemui satu kotak dalam keadaan terbuka yang mengandungi ketulan arang diletakkan di tepi pintu penumpang hadapan.

Turut ditemui satu periuk kecil mengandungi beberapa ketulan arang yang sudah dibakar di tempat alas kaki penumpang hadapan.

"Semakan rakaman CCTV di tempat kejadian mendapati mangsa meletakkan kenderaannya di situ pada jam 11.25 malam pada 8 Mac," katanya.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

1910 dibaca
Berita Harian X