Rabu, 14 March 2018 | 11:38pm

Lagi kes buli di sekolah

KUALA LUMPUR: Satu rakaman video memaparkan kejadian seorang pelajar sekolah di Nilai, Negeri Sembilan, dipercayai menjadi mangsa buli, tersebar di media sosial sejak petang tadi.

Dalam video berdurasi 19 saat itu, seorang pelajar berbaju sukan warna biru putih dan berseluar gelap, ditumbuk bertubi-tubi dan ditendang oleh beberapa pelajar lain dari sekolah sama.

Malah, kumpulan pelajar yang membuli dan mencederakan mangsa turut menyedari tindakan mereka itu dirakam pelajar lain.

Selain perbuatan mereka dirakam, kejadian itu turut 'ditonton' oleh sekumpulan pelajar lain yang dilihat berpakaian seragam sekolah.

Berdasarkan maklumat, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi iaitu pada waktu rehat sekolah berkenaan.

Lebih membahayakan, kejadian itu dipercayai berlaku di ruang laluan di tingkat 3 sekolah berkenaan yang berkemungkinan boleh menyebabkan mangsa terjatuh ketika dipukul dan ditendang.

BH Online sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan daripada polis, sama ada sudah menerima laporan kejadian berkenaan.

7684 dibaca
Sekumpulan pelajar sebuah SMK di Nilai, Negeri Sembilan membuli seorang pelajar dengan menumbuk dan menendangnya mula viral di media sosial sejak petang tadi. - Foto ihsan Pembaca
Berita Harian X