Rabu, 14 March 2018 | 8:14pm
PEGUAM, Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah dan Datuk Amarjeet Singh ketika pendengaran permohonan Majlis Peguam untuk mencabar pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Tiada halangan dalam Perlembagaan

PUTRAJAYA: Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang hakim tambahan dilantik menjadi ketua hakim negara atau presiden mahkamah rayuan, Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh dalam hujahannya, berkata apabila ada kekosongan bagi kedua-dua jawatan itu, kesemua hakim Mahkamah Persekutuan mempunyai kelayakan untuk menyandangnya mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan.

Amarjeet yang mewakili Kerajaan Malaysia, berkata hakim tambahan yang dilantik mengikut Perkara 122(1A) perlembagaan turut berkelayakan untuk memegang jawatan berkenaan kerana sebaik pelantikan mereka (sebagai hakim tambahan) berkuat kuasa, mereka juga adalah hakim Mahkamah Persekutuan.

"Dalam keadaan ini, pelantikan hakim tambahan sebagai ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan, adalah sah dan berperlembagaan," katanya.

Amarjeet berhujah pada pendengaran permohonan Badan Peguam dan Persatuan Peguam Bela Sarawak (AAS) yang mencabar keperlembagaan dan sama ada sah pelantikan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Pada pendengaran itu, ada empat persoalan perlembagaan dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada nasihat yang diberikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac tahun lalu supaya Raus dan Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan mengikut Perkara 122(1A) adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Prosiding di hadapan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Hasan Lah, bersama-sama Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Terdahulu, peguam Datuk S Ambiga yang mewakili Badan Peguam dalam hujahnya, berkata lanjutan tempoh perjawatan Raus dan Zulkefli mencabul prinsip kebebasan kehakiman.

Katanya, tempoh perjawatan mereka hanya boleh dilanjutkan melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Badan Peguam untuk merujuk soalan perlembagaan berhubung pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan selepas mereka bersara wajib pada usia 66 tahun enam bulan.

Permohonan untuk merujuk persoalan perlembagaan itu susulan daripada saman pemula difailkan Badan Peguam pada 10 Oktober 2017 bagi mencabar pelantikan mereka.

1006 dibaca
Berita Harian X