Rabu, 14 March 2018 | 7:30pm
- Foto Nadim Bokhari

SPRM tahan 7 penguat kuasa MPK

SHAH ALAM: Tujuh penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa meminta dan menerima rasuah daripada seorang pengusaha kafe siber tanpa lesen di Klang.

Kesemua lelaki berusia 31 hingga 42 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Klang pada jam 1.45 tengah hari ini.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas dirakam percakapan.

Sumber memberitahu, dalam kejadian pada 21 Oktober tahun lalu itu, penguat kuasa terbabit melakukan pemeriksaan ke atas premis berkenaan yang tidak mempunyai lesen hiburan.

"Penguat kuasa terbabit dikatakan meminta dan mengambil wang RM1,000 daripada pengusaha premis terbabit bagi mendorong mereka tidak mengambil tindakan undang-undang," kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan penguat kuasa terbabit.

Katanya, pihaknya dalam proses merakam percakapan semua suspek bagi membantu siasatan.

"Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Klang esok bagi mendapatkan permohonan reman," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

2634 dibaca
Berita Harian X