Rabu, 14 March 2018 | 7:27pm
Boon, 44, melakonkan semula bagaimana anggota PGA melepaskan tiga das tembakan rambang ketika melakukan pemeriksaan di sebuah pondok di Jalan Gua Sami, Kampung Kubang Tiga, semalam. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Polis siasat dakwaan anggota PGA lepas tembakan

PADANG BESAR: Polis sudah memulakan siasatan dalaman berhubung dakwaan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bertindak melepaskan tembakan di Jalan Gua Sami, Kampung Kubang Tiga semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias, ketika dihubungi hari ini mengesahkan siasatan dijalankan susulan laporan polis mengenai kejadian itu.

"Saya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu, namun tidak dapat mengulas lanjut kerana ia masih pada peringkat siasatan dalaman memandangkan anggota terbabit daripada PGA," katanya.

Beliau berkata, polis sedang meneliti dakwaan penduduk untuk mengenal pasti punca kejadian.

Dalam kejadian pada jam 5 petang semalam, penduduk mendakwa tiga anggota PGA membuat pemeriksaan di sebuah pondok di Kampung Kubang Tiga.

Ketika itu, lebih 20 penduduk dikatakan sedang menonton televisyen di pondok berkenaan.

Seorang daripada anggota itu didakwa melepaskan tembakan ke udara apabila kumpulan lelaki berkenaan enggan mempercayai mereka adalah dari PGA.

Difahamkan, anggota PGA terbabit mendakwa sedang mengesan aktiviti memproses ketum di kawasan itu.

Bagaimanapun, anggota PGA berkenaan dikatakan beredar selepas polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menenteramkan keadaan.


Boon, 44, menunjukkan lokasi kelongsong peluru yang tercampak selepas anggota PGA melepaskan tembakan rambang selepas melakukan pemeriksaan di sebuah pondok di Jalan Gua Sami, Kampung Kubang Tiga. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Boon, 44, mendakwa ketika insiden itu, dia bersama 20 penduduk berada di pondok berkenaan.

"Kami sedang menonton televisyen sebelum didatangi tiga lelaki bersenjata dengan seorang daripada mereka memegang selaras senapang jenis sub mesingan.

"Tiga lelaki berkenaan datang dengan menaiki dua motosikal sebelum menghampiri pondok kami dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis," katanya ketika ditemui, hari ini.

Boon mendakwa, mereka pada mulanya tidak percaya tiga lelaki itu adalah anggota PGA memandangkan hanya berselipar dan berbaju T biasa.

Bagaimanapun, dia mendakwa, tiba-tiba seorang daripada anggota itu meninggikan suara dan mengesyaki kumpulan berkenaan sedang melakukan aktiviti memproses air ketum.

"Apabila seorang daripada rakan kami cuba menghampiri mereka, tiba-tiba lelaki yang memegang senapang melepaskan tiga das tembakan ke udara dan mendakwa rakan kami cuba menyerangnya," katanya.

1466 dibaca
Berita Harian X