Rabu, 14 March 2018 | 7:16pm

Mangsa dera meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang koma dipercayai didera, meninggal dunia pagi tadi selepas tiga hari dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia pada jam 5.15 pagi tadi.

Katanya, polis masih menunggu laporan hasil bedah siasat sebelum tindakan susulan diambil.

"Pada jam 1 pagi semalam, seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan manakala usaha untuk mengesan suspek yang lain masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, arwah dilaporkan mengalami pendarahan serius di kepala dipercayai didera kenalan ibunya dalam kejadian di sebuah rumah di Pandan Perdana, di sini.

Mangsa dihantar ke Hospital Ampang oleh dua lelaki tempatan kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

1451 dibaca
Berita Harian X