Rabu, 14 March 2018 | 7:07pm
TIGA warga Myanmar dipercayai menangkap ikan menggunakan bubu naga di perairan Selangor.
Tiga warga Myanmar ditahan ketika dipercayai menurunkan bubu naga untuk menangkap ikan pada jarak 1.2 batu nautika dari Sungai Besar, kelmarin. ditahan ketika dipercayai menurunkan bubu naga untuk menangkap ikan pada jarak 1.2 batu nautika dari Sungai Besar, kelmarin.

Warga asing guna bubu naga ditahan

KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor semalam menahan tiga lelaki warga Myanmar yang cuba melarikan diri selepas dipercayai menangkap ikan menggunakan bubu naga di perairan Selangor.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad, berkata warga asing berkenaan ditahan pada jam 4.04 petang pada jarak 1.2 batu nautika dari Sungai Besar.

Katanya, bot peronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi yang dipercayai lubuk pemasangan bubu naga terbabit selepas menerima maklumat awam.

"Setiba di situ, kami mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran ketika warga asing berkenaan dipercayai leka menurunkan bubu naga.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka menggunakan bubu naga dan ketiga-tiganya yang berusia antara 26 hingga 27 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Zaki berkata, ketiga-tiga warga asing berkenaan ditahan bersama 80 unit bubu naga sepanjang antara sembilan hingga 10 meter yang disyaki dibeli dengan harga RM70 seunit.

"Bot terbabit kemudian diiringi ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Selangor bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar arahan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan serta mengendalikan peralatan penangkapan ikan jenis bubu naga selain tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Beliau berkata, penggunaan bubu naga menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai kerana mata pukat bubu naga jauh lebih kecil hingga menyebabkan anak ikan dan udang mudah masuk ke perangkap jaring terbabit.

"Keadaan ini menyebabkan habitat marin terjejas dan hasil laut semakin berkurangan. Malah, nelayan pesisir pantai juga terpaksa menanggung risiko jaring koyak akibat aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu naga," katanya.

560 dibaca
Berita Harian X