Rabu, 14 March 2018 | 6:54pm

Batu hempap 'Kancil'

GEORGETOWN: Pelanggan sebuah gerai di Lebuh Penang bertempiaran lari apabila terdengar dentuman kuat serpihan batu dari bumbung sebuah rumah kedai yang runtuh.

Pembantu gerai, Rasik Sameem Syed Ibrahim, 33 , berkata kejadian berlaku begitu pantas, namun beliau bersyukur kerana tiada sesiapa mengalami sebarang kecederaan.

"Serpihan batu berkenaan menghempap dua kereta di parkir berhadapan gerai dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, satu daripadanya iaitu Perodua Kancil pecah cermin hadapan serta bahagian pemandu selain bumbung kemek, manakala sebuah lagi hanya mengalami kerosakan kecil," katanya.

Beliau, yang bekerja sebagai pembantu gerai di warung berhampiran berkata, ketika itu orang ramai sudah berlari keluar daripada bangunan terbabit kerana bimbang perkara lebih buruk berlaku.

Pelancong wanita warga Belanda, Joose Behouden, 72 berkata, ketika kejadian dia bersama suami sedang berjalan berhampiran bangunan terbabit untuk melihat keindahan kawasan sekitar.

"Saya bersama suami bersiar-siar untuk melihat bangunan warisan di kawasan ini, namun terkejut apabila mendengar bunyi kuat disusuli runtuhan batu daripada bumbung.


ANGGOTA bomba memeriksa kereta Kancil selepas dihempap serpihan batu dan runtuhan dari bumbung di Lebuh Penang hari ini. - Foto Mikail Ong

ANGGOTA bomba memeriksa kereta Kancil selepas dihempap serpihan batu dan runtuhan dari bumbung di Lebuh Penang hari ini. - Foto Mikail Ong

"Mujur kami berdua dan orang lain yang melalui jalan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Penguasa Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Saiful Bahari Abdul Kadir, berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.37 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati dua kereta dihempap serpihan batu namun kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan terhadap orang ramai.

"Ketika kejadian ada beberapa pekerja dalam rumah kedai yang dijadikan sebagai pejabat itu, namun semua mereka berlari keluar sejurus runtuhan terbabit.

"Setakat ini, kita masih menyiasat punca kejadian... kerja pembersihan juga sedang dijalankan dan premis ini masih selamat untuk diduduki kerana hanya mengalami kerosakan kecil di bumbung," katanya.

667 dibaca
ANGGOTA bomba memeriksa kereta Kancil selepas dihempap serpihan batu dan runtuhan dari bumbung di Lebuh Penang hari ini. - Foto Mikail Ong
ANGGOTA bomba memeriksa kereta Kancil selepas dihempap serpihan batu dan runtuhan dari bumbung di Lebuh Penang hari ini. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X