Rabu, 14 March 2018 | 6:36pm
DATUK Syed Ibrahim Syed Ahmad. - Foto Mustaffa Kamal
Foto hiasan

Mangsa liwat pusat tahfiz diberi kaunseling

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang akan membantu memberikan khidmat kaunseling kepada pelajar sebuah pusat tahfiz di sini, yang diliwat dan menghadapi gangguan seksual oleh seorang sukarelawan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata beliau juga akan mendapatkan penjelasan daripada pengurusan pusat tahfiz persendirian itu.

Beliau berharap semua pusat tahfiz akan lebih berhati-hati dengan sukarelawan dan penderma yang dibenarkan terbabit rapat dengan pelajar bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.

"Perbuatan ini tidak patut berlaku, apatah lagi di pusat tahfiz. Ini boleh menghilangkan kepercayaan orang ramai khususnya ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk mendalami ilmu agama.

"Ini juga boleh menimbulkan perasaan curiga dan tidak percaya antara guru dengan mereka yang mahu membuat amal di pusat tahfiz. Guru pusat terbabit sudah pasti terkesan kerana mereka meletakkan kepercayaan kepada orang itu," katanya di sini, hari ini.

Tambah Syed Ibrahim, beliau berharap pemilik pusat tahfiz menjalin hubungan akrab dengan pelajar supaya menimbulkan perasaan yang mana pelajar berasa bebas untuk berkongsi masalah.

Polis hari ini mengesahkan seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan kerana disyaki meliwat enam pelajar pusat tahfiz berusia antara 14 hingga 17 tahun, yang dipercayai berlaku sejak Disember tahun lepas.

Suspek yang juga sukarelawan dan kerap memberi bantuan barangan keperluan dan pakaian di situ, dipercayai turut melakukan gangguan seksual terhadap 21 pelajar lain berusia antara 10 hingga 17 tahun.

Perbuatan suspek hanya terbongkar selepas seorang tenaga pengajar di pusat itu melihat suspek cuba menyelinap masuk selimut seorang pelajar di asrama pusat tahfiz berkenaan dan semua mangsa mendakwa mereka diugut oleh suspek. - BERNAMA

4520 dibaca
Berita Harian X