Rabu, 14 March 2018 | 1:24am
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim ketika sidang media mengenai video yang ditular mangsa ugutan ekoran Polis tidak membenarknya masuk ke balai selepas diekori tiga remaja yang tular di media sosial di Ibu Pejabat Polis Alam Damai malam ini. - Foto BERNAMA

Polis siasat video wanita dihalang masuk balai

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan seorang wanita kononnya tidak dibenarkan masuk ke dalam Balai Polis Alam Damai, Cheras, selepas kereta dipandunya diekori sebuah kenderaan dinaiki tiga lelaki, malam kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata wanita terbabit dibenarkan masuk ke kawasan balai selepas anggota di pos kawalan balai polis berpuas hati dengan penjelasannya.

"Ia prosedur operasi standard (SOP) anggota kita bertanyakan terlebih dahulu tujuannya datang ke balai polis atas faktor keselamatan sebelum dibenarkan masuk ke kawasan balai polis.

"Ini kerana wujud pelbagai ancaman dari anasir luar seperti daesh kerana ada macam-macam taktik digunakan termasuk berpura-pura cemas... anggota kita cuma jalankan tugasnya. Dakwaan dia tidak dibenarkan masuk ke dalam balai adalah tidak benar.

"Bagaimanapun, kita akan jalankan siasatan seadil-adilnya agar tidak wujud penganiayaan kepada mana-mana pihak," katanya dalam sidang media di Balai Polis Alam Damai di sini, malam ini.

Beliau mengulas mengenai video berdurasi enam minit 28 saat mengenai seorang wanita yang mendakwa polis tidak membenarkannya masuk ke balai polis itu selepas diekori sebuah kereta lain yang dinaiki tiga lelaki.

Wanita terbabit juga sudah membuat laporan berhubung kejadian dia diekori tiga lelaki di Balai Polis Cheras kira-kira jam 3 petang tadi.

Mazlan berkata, selepas menerima laporan itu, polis menahan tiga remaja lelaki berusia 18 tahun kira-kira jam 8.30 malam tadi di sekitar Alam Damai untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

"Polis juga menjalankan siasatan dalaman dan jika berlaku sebarang kesalahan anggotanya, kita akan ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, ketika wanita berusia 41 tahun itu memandu bersama seorang anak lelaki berusia 13 tahun di Persiaran Alam Damai, sebuah kereta BMW dinaiki tiga remaja lelaki membunyikan hon beberapa kali dan menjerit ke arahnya.

Remaja itu bertindak sedemikian kerana wanita terbabit dikatakan memandu berbahaya dan memasuki laluan mereka menyebabkan BMW terbabit berpatah balik dan mengekorinya.

Wanita terbabit yang cemas dan bimbang dengan keselamatannya, menghubungi talian kecemasan 999 sebelum memandu ke Balai Polis Alam Damai.

Ketika menuju balai polis itu, dia membunyikan hon untuk mendapatkan perhatian anggota polis yang bertugas di pos kawalan.

Ketika sampai di depan pintu pagar masuk balai berkenaan, dipercayai berlaku salah faham sehingga wanita itu menyangkakan dia tidak dibenarkan masuk.

Tidak lama kemudian, kereta BMW terbabit turut berhenti berhampiran balai polis dan anggota di pos kawalan bertanyakan tindakan mereka.

Mereka (remaja) yang menaiki BMW itu menjelaskan kenderaan wanita itu hampir merempuh mereka menyebabkan mereka tidak berpuas hati.

Anggota polis kemudian minta mereka beredar selepas menjelaskan tindakan mereka itu melanggar undang-undang.

Wanita terbabit yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu, membuat dua video rakaman menerusi Facebook dengan menceritakan kejadian berkenaan.

Video pertama disiarkan langsung oleh mangsa dari dalam kenderaan sejurus kejadian kira-kira jam 11.30 malam, manakala satu lagi video disiarkan sejam kemudian di lokasi lain dipercayai kediamannya.

5362 dibaca
Berita Harian X