Khamis, 15 Februari 2018 | 9:36am
PUAN Sri Faridah Begum Abdullah dan Raja Petra Kamarudin.

Isteri Peguam Negara lapor polis dakwaan Raja Petra

KUALA LUMPUR: Isteri Peguam Negara, Puan Sri Faridah Begum Abdullah, membuat laporan polis kelmarin, berhubung beberapa penulisan Raja Petra Kamarudin, yang disiarkan menerusi portal Malaysia Today.

Beliau berbuat demikian di Balai Polis Desa Sri Hartamas, kira-kira jam 12 tengah hari.

Laporan itu dibuat susulan tindakan Raja Petra, menerusi beberapa artikelnya yang disiarkan portal berkenaan, mendakwa suami Faridah, Tan Sri Muhammad Apandi Ali, dipengaruhi pihak luar di dalam membuat keputusan.

Faridah enggan mengulas lanjut mengenai isu yang dibangkitkan beliau dalam laporan polis berkenaan, sebaliknya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, ketika dihubungi, berkata pihaknya sedang meneliti kes berkenaan daripada pelbagai aspek.

Beliau tidak menolak kemungkinan memanggil saksi untuk memberi keterangan dalam siasatan yang dijalankan, jika wujud keperluan berbuat demikian.

"Kes ini dikendalikan oleh Unit Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sementara siasatan dibuat mengikut Seksyen 500, Kanun Keseksaan kerana membabitkan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)," katanya.

9144 dibaca
Berita Harian X