;
Rabu, 14 Februari 2018 | 11:31pm

Kapal bawa muatan minyak tanpa dokumen ditahan

BINTULU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, menahan sebuah kapal tangki kecil yang membawa diesel dan minyak sawit mentah selepas status muatannya itu didapati mencurigakan.

Kapal berkenaan ditahan di Kuala Sungai Batang Kemena, di sini, kira-kira jam 9.15 malam, semalam.

Hasil pemeriksaan sepasukan anggota PPM Wilayah 5 dari Bintulu, kapal berkenaan membawa muatan 5,000 liter diesel dan 5,000 liter minyak sawit mentah.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, selepas disoal siasat juragan kapal berkenaan gagal menunjukkan dokumen muatannya.

Beliau berkata, kapal tangki kecil itu kemudiannya diarah ke ke jeti Markas Operasi PPM Bintulu dengan diiringi oleh bot peronda PPM.

"Dua lelaki tempatan iaitu juragan dan pembantunya yang berumur 40 dan 20 tahun ditahan untuk membanru siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran pengawal.

"Semua barang rampasan, iaitu diesel dan minyak sawit mentah serta kapal tangki kecil itu dianggarkan bernilai RM325,000," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Salehuddin berkata, hasil soal siasat awal, juragan mendakwa minyak itu diperolehi daripada kapal tangki yang berlabuh di kawasan laut Bintulu.

"Kes itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pejabat Bintulu untuk tindakan selanjutnya, termasuk ke mana minyak itu akan dihantar," katanya.

227 dibaca
Berita Harian X