Rabu, 14 Februari 2018 | 8:16pm
PRESIDEN Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah (dua, kanan) menunjukkan kertas keterangan dan dokumen tambahan yang diserahkan kepada polis selepas memberi keterangan berhubung sebuah portal berita tempatan yang didakwa menerima dana asing bagi tujuan menjatuhkan kerajaan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - Foto BERNAMA

JMM dakwa serah 40 dokumen

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini, mendakwa menyerahkan 40 dokumen tambahan bagi membantu siasatan polis terhadap dakwaan berhubung kemasukan wang hampir RM3 juta ke dalam akaun portal, The Malaysian Insight (TMI).

Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah, berkata polis mengambil masa dua jam mulai 11 pagi, untuk mengambil keterangannya berhubung dokumen yang diserahkan itu.

"Siasatan kes ini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Bukit Aman kerana membabitkan individu tergolong dalam kumpulan orang kenamaan. Selepas memberi keterangan selama dua jam, saya berpuas hati dengan komitmen polis dalam hal ini, mereka sangat efisyen.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan akan menyelesaikan isu berbangkit dalam tempoh terdekat," katanya selepas memberi keterangan dan menyerahkan dokumen itu, hari ini.

Pada 4 Februari lalu, JMM membuat laporan polis terhadap TMI, kerana mengesyaki portal terbabit menerima dana asing bagi tujuan menjatuhkan kerajaan.

Polis siasat laporan

Sementara itu, polis masih menyiasat laporan dibuat isteri Peguam Negara, Puan Sri Faridah Begum Abdullah, berhubung penulisan Raja Petra Kamarudin di portal Malaysia Today.

Raja Petra menerusi beberapa artikel, mendakwa suami Faridah, Tan Sri Muhammad Apandi Ali, dipengaruhi oleh pihak luar di dalam membuat keputusan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya menimbangkan semua kemungkinan dari pelbagai sudut.

Beliau tidak menolak kemungkinan memanggil saksi memberi keterangan jika wujud keperluan berbuat demikian.

"Siasatan dikendalikan Unit Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)," katanya.

Semalam, Faridah membuat laporan polis berkaitan penulisan itu di Balai Polis Sri Hartamas.

305 dibaca
Berita Harian X