Rabu, 14 Februari 2018 | 5:49pm

Pua gagal batal injunksi diperoleh Najib

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua untuk membatalkan injunksi sementara diperoleh Datuk Seri Najib Razak yang melarangnya daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video fitnah terhadap Perdana Menteri.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pua di ruang legar Bangunan Parlimen, yang dirakam dan dimuat naik olehnya dalam laman Facebook atas nama Tony Pua bertajuk 'BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU 355 Private Member's Bill'.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Puan Seri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam, sebulat suara menolak rayuan Pua untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan injunksi sementara sebelah pihak kepada Najib pada 4 Ogos tahun lalu.

Panel terbabit membuat keputusan itu selepas mendapati alasan Pua dalam rayuannya tidak mempunyai asas dan tidak mempunyai sebarang merit serta tiada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakiman lisan yang dibacakan Yaacob, Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Najib selaku plaintif berjaya memenuhi keperluan yang membolehkan injunksi sementara itu diberikan kepadanya di peringkat Mahkamah Tinggi.

Yaacob berkata, antara keperluan itu ialah, Najib menyatakan bahawa kenyataan Pua mengandungi unsur memfitnah dan terdapat bukti yang menunjukkan bahawa defendan mempunyai niat untuk mengulangi kenyataan terbabit.

Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah ketika membenarkan permohonan injunksi itu.

"Kami juga berpandangan dan mengambil notis kehakiman bahawa secara faktanya Najib tidak melakukan sebarang kesalahan dalam isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Mahkamah mengambil maklum bahawa keseluruhan isu 1MDB sudah diteliti dan disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Siasatan juga dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Peguam Negara.

"Keputusan siasatan itu didedahkan kepada umum yang membersihkan nama plaintif daripada sebarang salah laku jenayah", katanya.

Dalam prosiding itu, Najib diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Gobind Singh Deo bertindak bagi pihak Pua.

Najib yang memfailkan saman fitnah terhadap Pua pada 21 April 2017, berkata kenyataan Pua di ruang legar Bangunan Parlimen pada 6 April tahun sama, adalah fitnah terhadap jawatannya selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Najib berkata, kenyataan itu bermaksud beliau menyalahgunakan kuasa dengan memberikan arahan melalui Kabinet kepada Speaker Dewan Rakyat supaya mengusulkan Rang Undang-undang Persendirian dan mengetepikan rang undang-undang lain, untuk mengalih perhatiam terhadap isu 1MDB.

Katanya lagi, ia juga bermaksud dirinya tidak menghiraukan doktrin pengasingan kuasa dan berkonspirasi dengan PAS untuk memecah undi Melayu dalam kalangan pembangkang.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Gobind memberitahu pemberita pihaknya akan memfailkan notis rayuan.

895 dibaca
GOBIND Singh Deo (kanan) bersama Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua semasa sidang media selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan untuk membatalkan injunksi sementara diperoleh Datuk Seri Najib Razak yang melarang beliau daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video memfitnah Perdana Menteri di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X