Rabu, 14 Februari 2018 | 5:44pm

Mahkamah terima rayuan bekas Ketua Polis Perak, kerajaan

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bekas Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah dan kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap kes seorang pegawai polis yang terbabit dalam kes menembak mati seorang peniaga kedai emas pada 2009.

Keputusan dibuat Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali itu sekali gus membatalkan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen di sini pada 2015 selepas kedua-dua defendan itu membuat rayuan ke mahkamah tinggi.

Pada 3 April 2015, Hakim D Sumita Kaur membuat keputusan supaya plaintif, Leong Seok Cheng serta anak perempuannya, Cheng Ming Hui menerima bayaran ganti rugi sebanyak RM193,000.

Tuntutan daripada tiga defendan iaitu Inspektor Mohd Taufik Peter Abdullah, 50; Zulkifli dan kerajaan selepas didapati bertanggungjawab atas kematian Chen Fun Kei, 43, iaitu suami kepada Seok Cheng.

Mohd Taufik sudah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Mac 2016 selepas didapati bersalah menjadi rakan jenayah dalam kes rompak dan tembak itu.

Dia didapati bersalah membenarkan pistolnya digunakan rakan sejenayahnya iaitu S Nagendran ketika mereka merompak kedai Max Goldsmith & Jewellery di Jalan Sultan Iskandar di sini antara jam 3.30 petang hingga jam 5.10 petang 16 September 2009.

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 19 Mei lalu turut menolak rayuan dibuat Mohd Taufik dan mengekalkan keputusan hukuman gantung sampai mati dijatuhi Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam penghakimannya hari ini, Che Mohd Ruzima berkata, polis dan kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap kejadian itu kerana Mohd Taufik yang juga defendan pertama tidak bertugas pada masa kejadian.

"Defendan pertama (Mohd Taufik) juga didapati ada memaklumkan kepada majikannya itu yang dia mahu melawat saudaranya yang sakit di Teluk Intan dan ia jelas menunjukkan defendan pertama tidak bertugas pada masa kejadian.

"Tindakannya adalah peribadi dan kerajaan tidak boleh bertanggungjawab terhadap tindakannya itu," katanya.

Dalam rayuan itu, Zulkifli dan kerajaan diwakili peguam Amalina Zainal Mokhtar manakala plaintif diwakili peguam M Kulasegaran, N Selvam dan Omar Kutty.

1384 dibaca
Berita Harian X