;
Rabu, 14 Februari 2018 | 5:36pm

Datuk kena 93 tuduhan tipu

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 93 pertuduhan menipu sebuah syarikat dengan membuat tuntutan kos pengangkutan palsu membabitkan kerugian berjumlah RM505,750 sejak 2008.

Tertuduh, Datuk R Shanmugam, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Adli Abd Ghalib.

Semua kesalahan itu dilakukan secara berasingan bersama lima tertuduh lain iaitu seorang wanita, Yap Siew Hiong, 46, P Sugumaran, 50; C Karrupiah, 41; V Murugesu, 55, dan M Kanesan, 38.

Mereka terdiri daripada pengurus besar dan pengarah urusan tiga syarikat berbeza selain seorang pekerja pembekal logistik dan pengangkutan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, Shanmugam bersama semua tertuduh didakwa menipu pegawai dan kakitangan Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) bagi mempercayai tuntutan kos pengangkutan dalam invois adalah tulen sehingga mendorong menyerahkan wang sebagai bayaran tuntutan itu.

Ia membabitkan bayaran melalui invois kepada lima syarikat iaitu Marin Teguh Inspection (M) Sdn Bhd, WLS Container Lines Sdn (M) Bhd, Green Valleys Resources, Tiban Enterprises dan Pandan Cerah Sdn Bhd berjumlah RM1,600 hingga RM14,000 setiap satu.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 21, Shah Alam Industrial Site di sini, antara 17 April 2008 hingga 15 Mei 2014.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Shanmugam menghadapi tiga pertuduhan secara individu selain menghadapi 46 pertuduhan secara bersama dengan Siew Hiong dan Sugumaran, 19 pertuduhan dengan Karuppiah, 18 pertuduhan dengan Kanesan dan tujuh pertuduhan dengan Murugesu.

Timbalan Pendakwa Raya Rizal Azani Zainal Adzan yang mengendalikan kes memohon kos ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan kepada semua tertuduh kerana ia membabitkan nilai kerugian besar kepada syarikat Panasonic.

"Ia juga kesalahan berulang kali walaupun berkaitan syarikat sama tetapi pada tarikh yang berbeza," katanya.

Bagaimanapun, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili lima tertuduh termasuk Shanmugam memohon pengurangan kos berikutan semua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga dan penjamin mengetahui tanggungjawab memastikan kehadiran mereka ke mahkamah.

"Ini kes jenayah komersial dan bukan jenayah am. Ia berdasarkan dokumen yang dikemukakan kepada pihak pendakwaan.

"Hingga kini, tiada sebarang aduan mengenai tiada kerjasama daripada semua tertuduh. Selain itu, tiada aduan cubaan gangguan kepada mana-mana saksi atau dokumen berkaitan," katanya.

Murugesu yang diwakili peguam P Purshotaman turut memohon pengurangan kerana anak guamnya itu kini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai tanggungan keluarga.

Adli kemudian membenarkan kos ikat jamin RM93,000 ke atas Shanmugam, manakala RM46,000 bagi Siew Hiong, Sugumaran (RM23,000), Karrupiah (RM15,200), Murugesu (RM14,400) dan Kanesan (RM5,600) serta sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Mac depan.

Media semalam melaporkan Datuk itu antara empat individu yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam dua serbuan selepas disyaki terbabit dalam kes tuntutan palsu membabitkan kerugian berjumlah RM26.3 juta.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata, semuanya terbongkar selepas Panasonic Appliance Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd membuat 11 laporan polis berhubung tuntutan palsu bagi perkhidmatan logistik yang disediakan syarikat itu.

936 dibaca
Berita Harian X