Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:28pm
MAYAT seorang lelaki ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain kanvas dan terlekat pada tiang di bawah Jeti Pelabuhan Barter Trade, Jalan Asa Niaga, Pelabuhan Klang, pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

Mayat lelaki berbalut kain kanvas ditemui

PELABUHAN KLANG: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain kanvas dan terlekat pada tiang di bawah Jeti Pelabuhan Barter Trade, Jalan Asa Niaga, di sini pagi tadi.

Mayat yang belum dikenalpasti identitinya itu ditemui dalam keadaan tidak berbaju, berseluar panjang, berkasut sarung warna kelabu tiada jenama serta berstokin pendek. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli berkata, mayat mangsa dibalut dengan kain kanvas biru dan diikat dengan tali nilon.

"Ikatan tali itu menutupi keseluruhan badan kecuali bahagian muka dan kedua-dua belah tangan terkeluar.

"Batu jongkong juga digunakan dan diikat pada betis dipercayai bertujuan untuk menenggelamkan mayat mangsa terbabit. 

"Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain, sebelum arus laut membawa mayat terbabit ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, pemeriksaan yang dijalankan oleh Unit Forensik mendapati terdapat satu besi konkrit, satu besi berkarat dan satu bata diikat di bahagian belakang dan kaki simati.

"Mayat dipercayai sudah dibunuh lebih 72 jam sebelum ditemui.

"Sehingga kini keadaan mayat masih berbalut dan akan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat pagi esok.

"Motif kejadian dan punca kematian belum dapat dipastikan dan akan akan diketahui selepas laporan bedah siasat esok," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

1539 dibaca
Berita Harian X