Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:33pm
MAYAT mangsa ditemui terapung kira-kira 20 meter dari lokasi dilaporkan hilang semalam. - Foto ihsan Maritim Malaysia

Nelayan hilang ditemui lemas

TAIPING: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot di Sungai Tiram Dalam, Trong, dekat sini semalam, ditemui lemas pada jam 9.30 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Abdul Rani Zakaria, 53.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander Maritim, Mohamad Zainal, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa jam 6 petang semalam.

Beliau berkata, susulan itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) segera dilakukan dengan pembabitan beberapa agensi lain termasuk komuniti nelayan di kawasan bot mangsa ditemui tanpa pengendali.

"Mangsa adalah seorang nelayan tempatan dan dilaporkan hilang ketika memasang rawai ikan di perairan berkenaan.

"Mayatnya ditemui pagi tadi dalam keadaan terapung kira-kira 20 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian dibawa ke Jeti Kuala Sungai Trong dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya di sini hari ini.

Beliau menasihatkan nelayan supaya lebih berhati-hati dan memakai jaket keselamatan ketika turun ke laut.

444 dibaca
Berita Harian X