Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:07pm

Lelaki jatuh Gunung Nuang dikhuatiri maut

KAJANG: Seorang lelaki dikhuatiri maut selepas terjatuh dari puncak Gunung Nuang, Hulu Langat di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.30 tengah hari tadi yang memaklumkan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an terjatuh di puncak Gunung Nuang.

"Berdasarkan maklumat awal diterima, rakan mangsa memaklumkan dia sudah meninggal dunia, bagaimanapun status sebenar keadaan mangsa belum dapat dipastikan.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) sudah naik ke puncak gunung itu pada jam 3.15 petang tadi bagi menjalankan operasi membawa keluar mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata berdasarkan maklumat awal diperoleh bomba, lokasi mangsa terjatuh terletak kira-kira 100 meter dari puncak Gunung Nuang.

"Pada masa ini, pasukan menyelamat masih mendaki untuk ke lokasi mangsa dikatakan terjatuh dan dijangka mengambil masa enam jam.

"Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) turut digerakkan ke lokasi untuk kerja mencari dan menyelamat," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

5457 dibaca
Berita Harian X