Sabtu, 13 Januari 2018 | 1:34pm

SPRM tahan lima lagi individu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lagi individu, termasuk juruteknik Telekom Malaysia (TM) kerana disyaki menyalah guna kuasa mengeluarkan kabel dari gudang.

Mereka ditahan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dalam operasi antara jam 8 malam dan 10 malam tadi.

Sumber berkata, seorang juruteknik TM ditahan di ibu negara kerana disyaki bersubahat dengan kontraktor yang dilantik apabila mengemuka 55 dokumen Maintance Order yang mengandungi butiran palsu.

Katanya, dokumen palsu itu dikeluarkan untuk mengeluarkan kabel daripada stor TM.

"Suspek berusia 42 tahun itu yang ditahan SPRM dan direman selama lima hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, bermula hari ini bagi membantu siasatan. Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ho Kwong Chin," katanya.

Beliau berkata, SPRM Negeri Sembilan menahan empat individu selepas dipercayai bersubahat dengan kakitangan TM mengeluarkan kabel dari stor syarikat untuk dijual kepada sindiket.

"Mereka yang ditahan ialah tiga juruteknik pemasangan TM dan seorang pembantu makmal sekolah yang juga juruteknik pemasangan sambilan.

"Mereka yang berusia antara 23 dan 32 tahun itu ditahan di SPRM Johor kira-kira jam 10 malam tadi dan dibawa ke SPRM Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan. Perintah itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Emysuriana Ahmad Seremban.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, mereka ditangkap susulan daripada 12 individu yang ditahan pada Rabu lalu, berhubung pengeluaran kabel dari stor TM secara tidak sah.

"Siasatan masih sedang berjalan dan kami dalam proses mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes ini," katanya.

SPRM sebelum ini melakukan operasi di ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan selepas mendapat maklumat TM kerugian antara RM4 juta ke RM6 juta, akibat pengeluaran kabel dari gudang syarikat itu.

2374 dibaca
Enam individu diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Seremban bagi permohonan reman berkaitan kes rasuah Telekom Malaysia (TM). - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X