Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:21am
Penduduk kampung memeriksa pukat dipercayai milik mangsa seorang nelayan dilaporkan hilang ketika keluar memukat ikan di perairan Pulau Jambongan, di Beluran. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
NELAYAN hilang, Mustapha Opong, 45.
Mustapha Opong, 45, yang dilaporkan hilang ketika memukat di Perairan Pulau Jambongan, Beluran, ditemui dalam keadaan keletihan namun selamat dan telah dibawa ke Kampung Babago, Pulau Jambongan oleh bot nelayan orang kampung dengan diiringi Bot Maritim banggi 43, pagi tadi. - Foto ihsan Maritim Malaysia

Nelayan ditemui selamat

BELURAN: Nelayan yang dilaporkan hilang dengan sebuah bot kayu ketika memukat di perairan Pulau Jambongan di sini sejak kelmarin, ditemui selamat pagi tadi.

Mustapha Opong, 45, ditemui selamat oleh penduduk kampung di pesisir pantai Kampung Obah pada jam 8.30 pagi, kira-kira 6.6 batu nautika dari tempat terakhir dia dilaporkan hilang.

Difahamkan, bot mangsa mengalami kerosakan dan hanyut, manakala dia tidak membawa telefon bimbit untuk meminta bantuan.

Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata mangsa yang ditemui dalam keadaan keletihan dibawa ke Kampung Babago, Pulau Jambongan oleh bot nelayan sambil diiringi Bot Maritim Banggi 43.


Mustapha Opong, 45, yang dilaporkan hilang ketika memukat di Perairan Pulau Jambongan, Beluran, ditemui dalam keadaan keletihan namun selamat dan telah dibawa ke Kampung Babago, Pulau Jambongan oleh bot nelayan orang kampung dengan diiringi Bot Maritim banggi 43, pagi tadi. - Foto ihsan Maritim Malaysia

"Berikutan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 9.15 pagi tadi," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa dipercayai keluar ke laut sendirian dari Kampung Jambongan sejak jam 5 pagi kelmarin dengan mengendalikan bot kayu terbabit sendirian menuju ke laut lepas.

Selepas tidak pulang sehingga lewat petang, usaha pencarian awal yang dilakukan oleh penduduk Kampung Jambongan menemui pukat milik mangsa, sebelum aduan dibuat kepada Pusat Operasi Maritim Daerah Sandakan pada jam 11.50 pagi semalam.

Susulan itu, operasi SAR diaktifkan pada jam 5.50 petang semalam membabitkan sektor pencarian merangkumi 275 batu nautika persegi dari perairan Pulau Jambongan hingga Beluran.

Mohd Zubil berkata, operasi SAR pada hari kedua hari ini membabitkan Kapal Maritim (KM) Tebrau dan Bot Maritim Banggi 43, selain bot milik bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu 20 bot nelayan, di kawasan seluas 275 batu nautika persegi.

"Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan mengucapkan terima kasih kepada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Udara PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, APM dan komuniti maritim Pulau Jambongan di atas bantuan aset untuk operasi ini.

"Masyarakat dimohon agar sentiasa melaporkan kepada Maritim Malaysia jika berhadapan sebarang masalah di laut dan boleh menghubungi bilik operasi 24 jam di talian 088-270165 atau MERS 999," katanya.

632 dibaca
Berita Harian X