Isnin, 8 Januari 2018 | 10:16am
KOMANDER AKSEM Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman, (dua dari kiri) menunjukkan minuman keras dan arak yang bernilai RM104,000 termasuk cukai yang dirampas dalam dua kereta jenis perodua Myvi di Padang Besar Perlis. - Foto Azhar Ramli

Tahan 2 lelaki cubaan seludup minuman keras

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan Keselamatan Malaysia (AKSEM) Kedah menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup pelbagai jenis minuman keras bernilai lebih RM100,000 ke negeri ini, petang semalam.

Kedua-dua suspek ditahan jam 5.30 petang bersama kereta dinaiki masing-masing dipenuhi stok minuman keras disyaki belum dijelaskan bayaran cukai, di Simpang Empat di Perlis, diekori anggota terbabit sejauh kira-kira 40 kilometer (km) dari Padang Besar, sebelum ditahan.

Semua minuman keras termasuk cukai barangan dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Terdahulu, kedua-dua suspek berusia lewat 40-an memandu kereta jenis Perodua Myvi secara berasingan, untuk membawa minuman keras melalui kawasan bebas cukai di Padang Besar, Perlis tanpa menyedari pergerakan diekori.


SEBAHAGIAN minuman keras dan arak yang bernilai RM104,000 termasuk cukai yang dirampas dalam dua kereta jenis perodua Myvi di Padang Besar Perlis. - Foto Azhar Ramli

Komander AKSEM negeri, Abdul Latif Abdul Rahman, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dalam perjalanan untuk menghantar minuman keras itu kepada pelanggan khususnya restoran di sekitar Alor Setar dan kawasan berhampiran.

"Hasil pemeriksaan ke atas dua kenderaan menemui pelbagai jenis arak dan minuman keras yang ditutup dengan kain hitam, dipercayai untuk mengelak dikesan.

"Minuman keras dan arak ini stok perayaan Tahun Baharu Cina dan ia dibeli dengan harga murah tanpa membayar cukai," katanya ketika ditemui di Kompleks Pentadbiran AKSEM di sini, malam tadi.

Abdul Latif berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan/belum lulus kastam.

Dalam kejadian berasingan pagi semalam, polis menahan seorang lelaki Thailand berusia 30-an di Kota Putra, dekat Duriang Burung di Padang Terap kerana cuba menyeludup seekor babi hutan seberat 15 kilogram (kg) yang sudah dilapah untuk dibawa ke negara jiran.

"Kita percaya permintaan tinggi daging babi hutan dengan harga sehingga RM300 sekilogram menjadi punca lelaki itu menyeludup bahan itu.

"Kes itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Abdul Latif berkata, dalam tempoh minggu ini, pihaknya mematahkan cubaan tiga kes menyeludup mercun, iaitu dua di Bukit  Kayu Hitam dan satu di Pendang, dengan nilai rampasan RM30,000 termasuk cukai.

312 dibaca
Berita Harian X