Jumaat, 8 Disember 2017 | 12:11pm

Nelayan dikhuatiri lemas di perairan Kuala Linggi

bhnews@bh.com.my

ALOR GAJAH: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas tidak pulang ke rumah, manakala botnya ditemui terapung di perairan Kuala Linggi, di sini, pagi semalam.

Kehilangan mangsa, Mohd Borhan, 62, disedari seorang nelayan lain berusia 60 tahun pada jam 7 petang, hari sama apabila menemui bot milik mangsa terapung pada jarak satu batu nautika dari perairan Kampung Telok, Pasir Panjang, Negeri Sembilan.

Timbalan Pengarah Operasi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan (DM5), Komander Maritim Azman Samsudin, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 1 pagi tadi.

"Difahamkan, mangsa turun ke laut pada jam 8.30 pagi semalam, untuk memasang pukat namun sehingga lewat petang mangsa tidak pulang ke rumah sebelum seorang nelayan yang memukat di perairan Kampung Telok menemui bot yang digunakan mangsa.

"Pemeriksaan dalam bot gentian kaca itu menemui satu tong mengandungi minyak, minuman dan beg pukat serta perkakasan memancing sebelum ia ditunda ke jeti berhampiran," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 7 pagi ini dibantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

222 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »