Jumaat, 13 Oktober 2017 | 11:40am
DUA anggota TLDM tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung sebelum didakwa atas tuduhan membunuh dua anggota lain pasukan itu di Bilik Tahanan Sungai Wangi. - Foto Abdullah Yusof

Laskar Kanan TLDM didakwa bunuh 2 anggota

SERI MANJUNG: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan membunuh dua anggota pasukan itu ketika berada dalam tahanan, 29 September lalu.

Laskar Kanan Mohd Izhrifikri Roslee, 29, dituduh menyebabkan kematian Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, di padang latihan Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, antara jam 10.30 pagi hingga 3.20 petang pada 29 September lalu. 

Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Laskar Kelas 1 Muhammad Lailaltuiman Mohd Sukri, 26, di tempat, masa dan tarikh sama. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. 

Mohd Izhrifikri yang bertugas sebagai Pengawal Bilik Tahanan berkenaan, mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan.

Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh dan tiada jaminan ditawarkan. 

Majistret Nur Shaqira Ibrahim menetapkan 12 Disember ini untuk kes itu disebut semula.

Pendakwaan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Yusaini Amer Abdul Karim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, peguam pemerhati yang mewakili Muhammad Lailaltuiman, Zalil Mohd Mess dan Farah Helmy, memohon kepada mahkamah agar kes berkenaan didengar di mahkamah tentera.

Zalil berkata, mereka menerima arahan daripada keluarga mangsa untuk membuat permohonan itu kerana kebiasaannya proses keseluruhan di mahkamah awam boleh mengambil masa sehingga 10 tahun untuk selesai sepenuhnya. 

"Mahkamah tentera biasanya mengambil masa lebih singkat, ini akan menentukan Allahyarham dan keluarganya akan dapat keadilan yang segera," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar surat permohonan berhubung perkara itu di pejabat Peguam Negara di Putrajaya. 

Yusaini Amer bagaimanapun berkata, arahan pertuduhan itu adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara dan beliau yang akan menentukan mahkamah mana lebih sesuai untuk prosiding kes berkenaan. 

Sementara itu, kelihatan isteri tertuduh menangis sebaik prosiding selesai.

Sebelum itu, tertuduh menyatakan dia sihat ketika ditanya isterinya dan bertanyakan sama ada pasangannya itu ada membawa anak mereka hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, isterinya itu tidak membawa anak mereka ke situ.

8950 dibaca
Berita Harian X