Jumaat, 13 Oktober 2017 | 10:53am

Naib Presiden Warisan dibebaskan

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony, yang ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana awam di Sabah dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Proses pembebasan Peter dibuat di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus di Hospital Pakar Damai, di sini, pada jam 9.45 pagi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin tempatan.

Cindy tiba pada jam 9.40 pagi sebelum dilihat keluar 10 minit kemudian.

SPRM diwakili Pegawai Pendakwaan SPRM, Mohd Faliq Basiruddin, manakala peguam Martin Tommy bagi pihak Peter.

Peter dimasukkan ke hospital pada petang Selasa selepas selesai prosiding menyambung perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Beliau disambung reman tiga hari selepas tempoh tahanan reman lima hari yang dikeluarkan mahkamah sama pada Jumaat lalu berakhir.

Tempoh sambungan reman beliau berakhir hari ini.

Barisan peguam Peter diketuai Martin dengan dibantu Loretto J Padua, Norazmi Alimat, Cedric Choo dan Jaikol Situn.

Peter dan seorang ahli perniagaan berumur 52 tahun ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam projek pembangunan luar bandar bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara 2009 hingga 2015.

Setakat ini, tujuh individu ditahan termasuk ahli perniagaan, Hamid Apdal yang juga adik Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Yang lain ialah Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim, manakala seorang lagi ialah bekas timbalan setiausaha bahagian KKLW yang ditahan di Putrajaya.

3564 dibaca
MAJISTRET Cindy Mc Juce Balitus dilihat keluar dari lobi Hospital Pakar Damai, Kota Kinabalu, selepas menamatkan tempoh tahanan reman terhadap Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony. - Foto Mohd Adam Arinin
Berita Harian X