;
Khamis, 12 Oktober 2017 | 5:02pm
SEBAHAGIAN 1,234 bungkusan minyak masak dan 400 kg tepung gandum yang dirampas oleh anggota AKSEM Negeri Perlis dalam dua tangkapan berasingan di Tasik Meranti, Wang Kelian, malam kelmarin.- Foto Ihsan AKSEM Perlis
AKSEM menahan sebuah van dipandu seorang lelaki yang dipenuhi puluhan kotak mencurigakan.- Foto Ihsan AKSEM Perlis

Seludup minyak masak, 2 beranak ditahan selang sejam

PADANG BESAR: Seorang bapa ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selang sejam selepas anak lelakinya ditahan, masing-masing atas kesalahan cuba menyeludup minyak masak ke negara jiran.

Lelaki warga Thailand berusia 57 tahun itu ditahan jam 11.15 malam Selasa lalu di kawasan Tasik Meranti di Wang Kelian, di sini, selepas hampir sejam anaknya, 35, ditahan di lokasi sama.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10.15 malam, pihaknya menahan sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan, AKSEM menemui 574 paket minyak masak sekilogram pada tempat duduk penumpang di bahagian belakang kenderaan serta ruang penyimpanan barangan, yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

"Selang sejam kemudian di lokasi sama pihak kami menahan sebuah van dipandu seorang lelaki yang dipenuhi puluhan kotak mencurigakan, yang kemudian disahkan berisi 660 kilogram (kg) minyak masak dan 400kg tepung gandum.

"Apa yang mengejutkan, siasatan lanjut dilakukan mendapati kedua-dua suspek warga Thailand itu mempunyai pertalian iaitu bapa dan anak," katanya.

Syed Basri berkata, pihaknya merampas semua stok minyak masak dan tepung yang cuba diseludup kedua-dua suspek yang nilai keseluruhannya RM2,135.

"Semua stok terbabit bersama dua kenderaan dirampas diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

403 dibaca
Berita Harian X