Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:54pm
SETIAUSAHA Agung WARISAN, Loretto J Padua (tengah) bersama sebahagian penyokong Parti Warisan Sabah ketika hadir menunggu keputusan tahanan reman SPRM yang dikenakan terhadap Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony di pekarangan dewan DBKK, berhampiran Hospital KPJ Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Naib Presiden Warisan masih ditahan di hospital

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony, yang ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana awam di Sabah masih dirawat di sebuah hospital swasta di Damai, di sini.

Peguamnya, Loretto J Padua, ketika mengesahkan perkara itu sebentar tadi berkata, pihak hospital belum membenarkan anak guamnya keluar dari wad kerana masih perlu menjalani rawatan.

"Sehingga pagi ini 10 botol air ditambah ke badan Peter bagi merawat masalah kekurangan air dalam badan. Dia juga menerima rawatan sakit kepala dan pening, namun stabil.

"Setakat ini, pihak hospital belum membenarkannya keluar dari wad dan jika pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskannya daripada reman hari ini, dia masih ditahan di hospital," katanya ditemui media, di sini.

Kira-kira 100 penyokong Warisan berkumpul berhampiran hospital berkenaan sejak jam 10 pagi tadi selepas dimaklumkan Peter bakal dibebaskan daripada tahanan reman hari ini.

Peter dimasukkan ke hospital pada petang kelmarin selepas selesai prosiding menyambung perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Beliau disambung reman tiga hari selepas tempoh tahanan reman lima hari yang dikeluarkan mahkamah sama pada Jumaat lalu berakhir.

Sementara itu, Loretto berkata, barisan peguam Peter masih berurusan dengan Mahkamah Majistret berhubung pembebasan Peter daripada tahanan reman.

"Berdasarkan perkiraan kami, tempoh sambungan reman Peter sepatutnya berakhir hari ini tetapi pihak SPRM menyatakan tempoh itu berakhir esok. Jadi sekarang, Martin Tommy (peguam Peter) sedang berusaha membincangkan perkara itu di mahkamah," katanya.

Barisan peguam Peter diketuai Martin dengan dibantu Loretto, Norazmi Alimat, Cedric Choo dan Jaikol Situn.

Peter bersama seorang ahli perniagaan berumur 52 tahun ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam projek pembangunan luar bandar bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.

Setakat ini, tujuh individu ditahan termasuk iaitu empat ahli politik, dua ahli perniagaan dan seorang penjawat awam.

752 dibaca
Berita Harian X