Selasa, 10 Oktober 2017 | 11:21pm

SPRM tahan adik Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi menahan adik Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Hamid Apdal, 52, bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam berjumlah RM1.5 bilion di Sabah.

Beliau yang juga ahli perniagaan ditahan jam 8 malam selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, di sini pada sebelah pagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Kira-kira jam 3 petang semalam, sepasukan lima pegawai dan anggota SPRM membawa Hamid ke rumahnya dan merampas beberapa barang dan dokumen selepas tiga jam, dipercayai ada kaitan dengan siasatan sama.

Berikutan penahanan baharu itu, tujuh individu sudah ditahan berhubung siasatan kes terbabit, masing-masing empat ahli politik, dua ahli perniagaan dan seorang penjawat awam, setakat ini.

Penahanan Hamid dipercayai ada kaitan dengan siasatan kes penyelewengan dana awam untuk pembangunan luar bandar disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah, di antara 2009 hingga 2015.

Sementara itu, tiga tokoh pemuda politik Sabah yang ditahan petang semalam, direman lima hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mereka ialah Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus.

Jamawi, 43 dan Ariffin, 44, dibawa ke Mahkamah Majistret 1 di sini pada jam 12.25 tengah hari, manakala Mohd Azis lima minit kemudian.

Jamawi diwakili peguam Arthur Bonnie, Shahlan Jufri dan Mohd Azhier A Farhan Arifin, manakala peguam Hamid Ismail mewakili Ariffin dan Mohd Azis diwakili Martin Tommy, Loretto J Padua, Cedric Choo, Norazmi Alimat serta Jaikol Situn.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip.

Di mahkamah sama, Cindy membenarkan permohonan SPRM untuk melanjutkan reman terhadap Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony dan seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan kes sama masing-masing tiga dan empat hari lagi.

Difahamkan, mahkamah turut membenarkan Anthony dibawa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau swasta oleh SPRM kerana masalah kesihatan berdasarkan permintaan peguamnya.

2464 dibaca
Berita Harian X