Selasa, 26 September 2017 | 6:39pm
SAAVEDRA tersangkut di atas pokok ketika cuba melakukan pendaratan di padang berhampiran Taman Ekstrim Gua Damai, Selayang. - Foto Asyraf Hamzah
SAAVEDRA tersangkut kira-kira 10 minit, tidak mengalami kecederaan. - Foto Asyraf Hamzah

Penerjun tersangkut atas pokok

GOMBAK: Seorang peserta Gua Damai International Base Jumping menempuh detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut di atas pokok ketika cuba melakukan pendaratan di padang berhampiran Taman Ekstrim Gua Damai, Selayang, pagi ini.

Bagaimanapun, Johnny Saavedra, 59, dari Amerika Syarikat, yang tersangkut kira-kira 10 minit, tidak mengalami kecederaan dalam kejadian jam 10.40 pagi itu.

Menceritakan detik cemas itu, Saavedra, 59, berkata pada peringkat awal segala-galanya berjalan lancar sebelum dia melakukan terjunan dari pelantar khas pada ketinggian 96 meter di puncak bukit berhampiran Gua Damai.

Penerjun itu berkata, masalah mula timbul apabila tangan kirinya terlepas tali kemudi, sekali gus menyebabkan tidak boleh mengawal dan menerbangkan payung terjun ke kiri untuk melakukan pendaratan di padang berhampiran. 

"Apabila payung terjun tidak terbang ke kiri, pilihan terbaik adalah pergi ke kanan dan mendarat di atas pokok untuk menyelamat nyawa dan mengelak kecederaan.

"Saya bersyukur kerana keputusan mendarat di atas pokok adalah tepat kerana seperti anda lihat saya tidak mengalami kecederaan atau calar pun dan segala-galanya baik," katanya kepada pemberita selepas diturunkan dari pokok dengan bantuan anggota bomba.

Saavedra berkata kejadian itu tidak menjejaskan semangatnya untuk terus aktif dengan sukan 'base jump' dan terus melakukan terjunan di Gua Damai esok.

Baginya kejadian seumpama itu memang sudah dijangka dan perlu diambil kira oleh individu yang mahu bergiat aktif dengan sukan base jump atau luncur udara.

"Saya mempunyai pengalaman dan aktif dalam sukan base jump dan luncur udara lebih 30 tahun. Saya tahu bagaimana untuk melakukan pendaratan cemas dan tidak mudah panik serta mengawal emosi bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

"Kita tidak boleh bertindak mengikut emosi tetapi berdasarkan pengalaman dan situasi bahaya mendatang," katanya yang berpengalaman melakukan lebih 14,300 terjunan luncur udara dari pesawat dan kira-kira 1,000 kali terjunan base jump termasuk di Gua Damai.

Sementara itu, Pengurus Besar Wira Adventure Consultan, merangkap pengurus acara berkenaan, Mustapa Al-Bakri Omar, bersyukur kerana Saavedra tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, beliau sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi memastikan tiada kemalangan sepanjang acara berkenaan berlangsung termasuk meletakkan syarat ketat kepada peserta.

Malah, hanya mereka yang mempunyai pengalaman melakukan terjunan lebih 100 kali dibenarkan menyertai Gua Damai International Base Jumping 2017

"Saya gembira kerana sehingga kini lebih 70 penerjun tempatan dan luar negara termasuk 10 peserta wanita sudah mendaftar untuk menyertai base jump di Gua Damai yang sudah 10 tahun dianjurkan itu," katanya.

1053 dibaca
Berita Harian X