Rabu, 13 September 2017 | 7:37pm
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran rumah kedai dua tingkat di Tapak Warisan Dunia Pulau Pinang, Jalan Cintra. Dalam kejadian jam 2 petang itu, membabitkan rumah kedai elektrik yang menjual dan membaiki penyaman udara. - Foto Ramdzan Masiam

Rumah kedai warisan terbakar lagi

GEORGETOWN: Tidak sampai 48 jam, dua lagi rumah kedai di kawasan Tapak Warisan Dunia Pulau Pinang musnah dijilat api dalam kejadian di Lebuh Cintra, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, dua kedai yang menempatkan pusat jualan dan servis penghawa dingin musnah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Azmi Ahmad, berkata tujuh jentera dan 34 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang.

"Sebaik tiba kita mendapati sebuah kedai sedang terbakar dan api sudah merebak ke kedai bersebelahan.

"Kita berhadapan kesukaran mengawal api berikutan cuaca panas dan berangin, namun api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.14 petang dan operasi memadam masih diteruskan sehingga kini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, tiga bangunan warisan yang menempatkan kedai cenderamata dan kraftangan di Jalan Pinang dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi.

288 dibaca
Berita Harian X