Ahad, 3 September 2017 | 3:34pm
LABEL pada daging sejuk beku. - Foto ihsan KPDNKK
PENGUATKUASA KPDNKK negeri membuat pemeriksaan di sebuah premis menjual daging sejuk beku di Tampin. - Foto ihsan KPDNKK

Daging kambing, bukan babi

TAMPIN: Tindakan melulu pihak tertentu menyebarkan maklumat tidak sahih di laman sosial menyebabkan sebuah kedai menjual daging sejuk beku di bandar ini dikecam kerana dituduh menjual daging babi.

Bagaimanapun, tindakan cekap penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri membuat pemeriksaan segera, mendapati tuduhan yang menjadi viral itu tidak berasas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Saiful Bahri Abdul Kadir, berkata pihaknya membuat pemeriksaan kira-kira jam 12 tengah hari semalam selepas mendapati dakwaan itu tersebar di laman sosial.

"Kita mendapati daging yang didakwa babi itu sebenarnya daging kambing lapah sejuk beku yang diimport dari New Zealand dan disembelih di rumah penyembelihan diiktiraf oleh pihak yang menguruskan pensijilan halal di negara itu," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada makanan tidak halal dijual di premis berkenaan.

Berikutan itu, Saiful Bahri turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai keraguan mengenai sesuatu perkara supaya menyalurkan aduan rasmi kepada KPDNKK bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan dan tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di laman sosial.

Pemeriksaan BH mendapati, dakwaan yang tersebar di beberapa kumpulan Facebook itu, antara lain meminta orang ramai berhenti membeli daging di kedai berkenaan kerana didakwa tidak mengasingkan daging babi daripada ayam dan lembu.

Selain itu, turut tersebar ialah salinan laporan polis dibuat seorang lelaki yang mendakwa melihat seorang pekerja premis itu memikul bungkusan daging dipercayai babi dari peti sejuk beku pada Khamis lalu.

9376 dibaca
Berita Harian X