Rabu, 23 Ogos 2017 | 2:48pm
MAYAT pertama daripada 10 kru kapal pemusnah Amerika Syarikat, USS John S McCain, yang hilang dalam pelanggaran dengan sebuah kapal dagang, semalam ditemui pasukan operasi dan menyelamat menerusi KD Handalan petang tadi.. - Foto BERNAMA

Tentera Laut AS terima mayat pertama

KUALA LUMPUR: Mayat anak kapal USS John S McCain yang ditemui petang semalam, sudah diserahkan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).

Cawangan Perhubungan Awam Markas Wilayah Laut 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, mayat berkenaan diserahkan oleh KD Lekiu pada jam 8.30 pagi tadi.

"KD Lekiu menyerahkan mayat ditemui oleh KD Handalan kepada Tentera Laut AS.

"Pesawat Seahawk milik Tentera Laut AS mendarat di atas KD Lekiu untuk proses mengenal pasti mayat sebelum dibawa ke USS John S McCain di Pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura.

"Pesawat berlepas dari KD Lekiu pada jam 9.48 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata, usaha mencari baki anak kapal yang hilang diteruskan bersama agensi maritim dan tentera laut negara lain.

Semalam, kapal KD Handalan TLDM yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat pertama anak kapal perang pemusnah peluru berpandu milik Tentera Laut AS di sektor keempat kawasan pencarian iaitu empat batu nautika timur Tanjung Penawar, dalam perairan Malaysia, jam 3.45 petang.

Beberapa mayat lain dikatakan turut ditemui oleh pasukan SAR dalam bahagian tertutup kapal itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin, kapal USS John S McCain, bertembung dengan sebuah kapal tangki minyak MV Alnic, berhampiran Pengerang dan Pulau Batu Putih, menyebabkan 10 anak kapal hilang, manakala lima lagi tercedera.

Ia adalah kemalangan kedua membabitkan kapal perang AS dalam tempoh dua bulan.

Jun lalu, USS Fitzgerald bertembung dengan kapal kargo Filipina di luar pantai Jepun menyebabkan tujuh anak kapal maut.

1591 dibaca
Berita Harian X