Selasa, 22 Ogos 2017 | 9:32pm
KAPAL TLDM KD Handalan menemui satu mayat dalam kawasan sektor pencarian Op CARILAMAT pada jam 3.45 petang tadi. - Foto TLDM
PEGAWAI dan anggota KD Handalan, TLDM meletakkan mayat anak kapal USS John S McCain, dalam beg hitam sebelum dibawa ke jeti KDSI TLDM, Tanjung Pengelih, Johor, sebelum diserahkan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat, petang tadi. - Foto TLDM
MAYAT dibawa ke jeti Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI) TLDM, Tanjung Pengelih, Johor. - Fotoihsan TLDM

Mayat anak kapal perang AS ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat anak kapal perang pemusnah peluru berpandu milik Tentera Laut, Amerika Syarikat, USS John S McCain, yang berlanggar dengan kapal tangki minyak MV Alnic MC, di perairan Johor, semalam, mulai ditemui petang tadi.

Mayat pertama ditemui oleh kapal KD Handalan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), di sektor keempat kawasan pencarian iaitu empat batu nautika timur Tanjung Penawar, dalam perairan Malaysia.

Beberapa mayat lain juga dikatakan ditemui oleh pasukan SAR dalam bahagian tertutup kapal itu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifili Abu Bakar, berkata jarak penemuan lokasi mayat adalah 7.5 batu nautika barat laut dari lokasi pelanggaran pada jam 3.45 petang tadi.

"Mayat berkenaan dibawa ke jeti Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI) TLDM, Tanjung Pengelih, Johor dan pihak TLDM sudah mengaturkan penyerahan mayat kepada pihak Amerika Syarikat di KDSI.

"Operasi SAR juga masih diteruskan meskipun pada waktu malam dan sektor pencarian masih dikekalkan dalam keluasan 352 batu nautika persegi bagi kawasan laut serta keluasan 488 batu nautika persegi bagi pencarian udara," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, lebih 500 pegawai dan anggota pelbagai agensi negara terbabit dalam operasi itu.

Selain Maritim Malaysia dan TLDM, operasi turut disertai oleh Pasukan Polis Marin, Jabatan Laut Malaysia dan dibantu dua pesawat milik Tentera Laut Amerika Syarikat iaitu MH 60-Seahawk dan MV 22-Osprey.

Sementara itu, di Singapura, Komander Tentera Laut Pasifik AS, Laksamana Scott Swift memberitahu AFP, penyelam berjaya menemui beberapa mayat dalam bahagian tertutup kapal perang berkenaan.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi semalam, kapal USS John S McCain, bertembung dengan sebuah kapal tangki minyak MV Alnic, berhampiran Pengerang dan Pulau Batu Putih, menyebabkan 10 anak kapal hilang, manakala lima lagi tercedera.

Ia adalah kemalangan kedua membabitkan kapal perang AS dalam tempoh dua bulan.

Jun lalu, USS Fitzgerald bertembung dengan kapal kargo Filipina di luar pantai Jepun menyebabkan tujuh anak kapal maut.

4468 dibaca
Berita Harian X