Ahad, 13 Ogos 2017 | 9:07pm

Kesan warga asing kait pengganas

NILAI: Polis menahan 350 warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa dalam operasi bersepadu di Pusat Borong Nilai 3 di sini, hari ini.

Operasi selama empat jam bermula 2 petang itu, diketuai oleh Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara.

Ketua Penolong Pengarah E8, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata operasi yang disertai 321 anggota itu menjalankan pemeriksaan terhadap 680 warga Pakistan dan Afghanistan, membabitkan 1,018 premis.


Antara warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu serbuan Bahagian Anti Penganas E8 Cawangan Khas Bukit Aman yang dilakukan di sekitar kawasan pusat perniagaan Nilai 3, disini hari ini. - Foto Adzlan Sidek

Katanya, operasi bertujuan mengesan kumpulan pengganas yang dikhuatiri menggunakan warga asing untuk masuk ke negara ini.

"Operasi dijalankan di Nilai 3 berikutan sasaran tangkapan adalah warga Pakistan, Afghanistan, Bangladesh dan Nepal yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

"Kemungkinan warga berkenaan yang bekerja di negara ini terbabit dengan kumpulan itu adalah tinggi dan mereka disyaki berpindah dari Jalan Masjid India, Kuala Lumpur ke Nilai 3 dan bersembunyi bersama rakan senegara," katanya selepas operasi bersepadu di Pusat Borong Nilai 3, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menemui empat bilah pedang yang didakwa digunakan untuk memotong permaidani dan tukul besi yang diletakkan di bawah kaunter jualan kedai menjual permaidani milik warga Pakistan.

Katanya, enam pekerja lelaki di kedai itu berusia 20 sehingga 30 tahun yang pada mulanya cuba menyerang polis dan melarikan diri tetapi dapat ditahan untuk siasatan lanjut.

Mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atas pelbagai kesalahan antaranya salah guna dokumen perjalanan.

"Proses saringan dan dokumentasi dijangka diperoleh esok," katanya.

1264 dibaca
Anggota polis memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu serbuan Bahagian Anti Penganas E8 Cawangan Khas Bukit Aman yang dilakukan di sekitar kawasan pusat perniagaan Nilai 3, disini hari ini. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X